A+ A A-

UniMAP Holdings Dan Yayasan Ubudiyah Indonesia Jalin Kerjasama Strategik

Banda Acheh, 15 Februari – UniMAP Holdings Sdn. Bhd. (UHSB) dan Yayasan Ubudiyah Indonesia (YUI) memeterai kerjasama strategik khususnya dalam aspek pembangunan latihan dan kerjaya selain turut merangkumi kerjasama dalam aspek pendidikan dan penyelidikan.

Pengurus Operasi UHSB, Dr. Mohd. Najmuddin Hassan berkata,  menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua pihak bersetuju untuk menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) selain turut merancang lawatan ilmiah di Malaysia dan Acheh.

Menurut beliau lagi, kerjasama tersebut antara lainnya membolehkan YUI dan UniMAP saling berkongsi kepakaran teknikal selain turut bersetuju agar kedua-dua pihak berkongsi kemudahan akademik, latihan dan penyelidikan yang dimiliki.

“Perjanjian ini akan terus ditambahbaik dari semasa ke semasa dan untuk permulaan ini semua perjanjian sah dalam tempoh tiga tahun,” ujar beliau selepas majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara USHB dan YUI.

Pada majlis tersebut, UHSB diwakili oleh Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah UHSB manakala YUI diwakili oleh Ketuanya, Dedi Zefrizal ST. Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, berkenan berangkat hadir menyaksikan majlis MoU tersebut.

Turut hadir menyaksikan, Ahli Lembaga Pengarah UHSB, Datuk Wira Salleh Haji Din dan Rektor UUI, Marniati M. Kes.

MoU tersebut diadakan bersempena Program Kembara Ilmu Di Bumi Acheh yang disertai oleh semua Pengurusan Tertinggi , Dekan serta Ketua Jabatan UniMAP. Terdahulu, Datuk Kamarudin turut membentangkan Pelan Strategik UniMAP untuk tempoh lima tahun mulai 2016 hingga 2020.

YUI ditubuhkan khusus untuk melahirkan lebih ramai sumber manusia yang kompetitif dalam pelbagai bidang dan aspek khususnya pendidikan serta penyelidikan seterusnya mampu menyumbang kepada pembangunan sosial, ekonomi dan politik di Indonesia amnya dan Acheh khasnya.

Yayasan Ubudiyah Indonesia

 Yayasan Ubudiyah Indonesia

 Yayasan Ubudiyah Indonesia