- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Bina Makmal Guna Hasil Penyelidikan Geopolymer
Brisbane, Australia, 8 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melalui Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau (CEGeoGTech) bercadang membangunkan membangunkan makmal dan bilik pameran menggunakan semua hasil penyelidikan berasaskan geopolimer dan teknologi hijau.
Naib Canselor UniMAP, Brig. Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, pembinaan makmal dan bilik pameran tersebut akan dijalankan dengan kerjasama Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FETech) UniMAP di Kampus UNICITI Alam, Sungai Chuchuh.
Pembinaan tersebut, ujar beliau dibuat menggunapakai model yang digunakan oleh penyelidik geopolimer Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Queensland (UQ) Autralia yang telah berjaya membina bangunan dengan menggunakan bahan geopolimer yang dikenali sebagai Global Change Institute (GCI).
“Sekumpulan penyelidik Geopolymer UniMAP telah ke sana (UQ) dan mengadakan perbincangan dengan pihak UQ yang dihadiri oleh Ketua Jabatannya iaitu Profesor Jose L. Torero dengan beberapa penyelidik dalam bidang geopolimer iaitu Dr. Liza O’Moore dan Dr. Vinh Dao.
“Perbincangan tertumpu kepada kerjasama memperkasa bidang geopolimer di Malaysia berdasarkan model yang digunapakai oleh UQ yang mana ia turut mendapat kerjasama beberapa industri sekitar Australia yang telah lama membangunkan bahan geopolimer di negara tersebut antaranya Zeobond dan Geopolymer Alliance.
“Ia sesuatu yang baik untuk kita (UniMAP) dan saya telah meminta penyelidik CeGeoGTech membangunkan model yang sama dan ia dijangka siap akhir tahun ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
UQ merupakan salah sebuah university terkemuka di Asutralia dan tersenarai dalam kedudukan 43 universiti terbaik dunia dalam Times Higher Education World University Rankings (THES).
Deligasi UniMAP diketuai oleh Profesor Salleh Hj. Din yang juga mewakili Naib Canselor UniMAP, Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FETech), Prof. Madya Dr. Che Mohd Ruzaidi Ghazali dan Pengurus CEGeoGTech, Prof. Madya Sr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah.