- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Jalin Kerjasama Bersama Klinik Ebrahim Dan Surgeri Sdn Bhd
KUALA LUMPUR, 5 Mei — Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sememangnya dikenali sebagai sebuah Universiti Awam (UA) yang sangat aktif dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Terbaharu, UniMAP telah bekerjasama dengan Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd bagi membawa teknologi rawatan jantung bagi memenuhi kehendak penduduk di kawasan Kedah dan Perlis.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, kelengkapan peralatan rawatan jantung itu dijadualkan dibawa ke UniMAP penghujung Mei nanti.
“Kita telah mengadakan lawatan ke klinik yang merupakan pakar dalam rawatan jantung ini dan menandatangani Surat Hasrat (LOI) bagi menjalankan rawatan External Counter Pulsation Treatment (ECP) dan Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT).
“Kemudahan rawatan ini akan ditempatkan di Poliklinik UniMAP yang dijangka mula beroperasi pada Ogos ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis menandatangini LOI UniMAP dan Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd, semalam.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP, Prof. Dr. Abdul Hamid Adom, Bendahari UniMAP, Saodah Hassan, Pengarah Pusat Kesihatan UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohammad Iqbal Omar, Ketua Pegawai Operasi UniMAP Holdings Sdn. Bhd, Dr. Mohd Najmuddin Mohd Hassan dan Pengarah Jabatan Pembangunan UniMAP, Prof. Madya Mazelan Abdul Hamid.
Di majlis itu, UniMAP diwakili Datuk Kamarudin sendiri manakala Klinik Ebrahim dan Surgeri Sdn. Bhd. Diwakili Pengarah Urusannya, Prof. Dr. Mohd Ebrahim Sulaiman.
Sementara itu, Dr. Mohd Ebrahim berkata, ECP merupakan satu teknik Non-Invasif yang membaiki fungsi jantung dengan menurunkan kadar tekanan pada jantung.
“ECP boleh dimanfaatkan oleh mereka yang menghadapi masalah kegagalan fungsi jantung yang kronik, penyakit arteri koronari, masalah penyakit arteri periferal, masalah arteri darah di kaki dan mengurangkan simptom angina.
“Manakala HBOT pula merupakan Terapi Hiperbaik Oksigen dimana kaedah rawatan penyembuhan dimana pesakit bernafas 100% oksigen di bawah tekanan tinggi, “katanya.