A+ A A-

UniMAP sasar 20 pingat emas SUKIPT 2014

Arau, 29 Januari : Kontinjen Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) kini bersedia mengibarkan bendera kejohanan di kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014 yang bakal berlangsung mulai 3 hingga Februari ini.

Kontinjen yang terdiri daripada 170 atlit termasuk pegawai diketuai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Suhizaz Sudin selaku ketua kontinjen bakal member saingan sengit dalam 14 acara termasuk olaharga, hoki, tenpin boling, sepak takraw dan lain-lain acara di kejohanan yang bakal diadakan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin berkata beliau meletakkan sasaran 20 pingat emas dalam menghadapi cabaran kejohanan SUKIPT kali ini dan berharap semua atlit dapat melakukan yang terbaik bagi mengharumkan nama UniMAP.

"Sasaran ini merupakan satu cabaran daripada saya kepada semua atlit UniMAP kerana saya yakin mereka mampu mencapainya sekaligus meneruskan kecemerlangan bagi tahun 2014 ini.

"Selain itu, saya juga mengharapkan UniMAP dapat mengekalkan kedudukan yang diraih pada SUKIPT edisi sulung yang lalu atau kedudukan yang lebih baik lagi pada kejohanan kali ini," kata beliau ketika majlis penyerahan bendera universiti kepada kontinjen UniMAP, di sini, semalam.

Datuk Kamarudin turut melahirkan harapan agar semua atlit UniMAP dapat menjaga pemakanan selain sentiasa berdisiplin bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.

"Besar harapan saya agar kontinjen UniMAP membawa nama UniMAP ini dengan baik di mana jua mereka berada serta menerapkan semangat juang yang tinggi dalam semua acara yang disertai.

"Justeru, keseluruhan warga UniMAP menyatakan sokongan padu buat kontinjen UniMAP bagi meniupkan semangat kepada semua atlit yang bakal berentap di sana nanti," kata beliau.

Pada kejohanan SUKIPT 2012, UniMAP berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan daripada lebih 90 kontinjen yang mengambil bahagian dalam acara berkenaan yang diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

SUKIPT 2014 kali ini mempertandingkan 24 acara sukan dengan menawarkan sebanyak 251 emas, 251 perak dan 339 gangsa membabitkan 8,000 atlit dari institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

Perasmian pembukaan SUKIPT 2014 ini bakal dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyidin Mohd Yassin pada 3 Februari ini.