- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Warga Tumpat Melawat UniMAP
Kangar, 10 Februari 2015 – Hubungan baik yang terjalin menerusi Operasi Pasca Banjir ke Pantai Timur baru-baru ini dimanfaatkan sebaiknya oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan menerima kunjungan balas dari warga Tumpat, Kelantan dalam rangka lawatan mereka selama dua hari ke universiti itu.
Naib Canselor UniMAP berkata, melalui program Ops Pasca Banjir UniMAP ke Pantai Timur secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan antara universiti dengan warga Tumpat.
“Bagi UniMAP segala bantuan yang telah dihulurkan merupakan sebahagian sumbangan tanggungjawab sosial universiti (CSR) kepada masyarakat. Selain menghulurkan bantuan kewangan serta sukarelawan, UniMAP juga turut menghulurkan bantuan kepakaran teknologi.
Sepanjang Ops Pasca Banjir UniMAP ke Pantai Timur, seramai 1,870 sukarelawan terlibat dalam menjayakan tujuh fasa yang telah ditetapkan pihak universiti. UniMAP juga turut menyumbangkan 1,423 pakaian dan keperluan sekolah kepada pelajar dari tujuh buah sekolah sekitar Tumpat,” katanya.
Pada lawatan tersebut seramai 90 orang Pelajar dan guru dari lima buah sekolah di Tumpat terlibat antaranya Sek. Men. Kebangsaan Kg Laut, Sek.Men. Kebangsaan Tumpat, Sek. Men. Kebangsaan Wakaf Baru, Sek. Men. Kebangsaan Genting dan Sek. Kebangsaan Pulau Beluru.
Turut sama dalam lawatan tersebut adalah dua buah sekolah dari Sungai Petani iaitu Sek . Kebangsaan Tuan Syed Jan Al-Jafri dan Sek. Kebangsaan Sungai Petani serta Sekolah Seri Puteri Cyeberjaya.
Beliau ketika menyampaikan ucapan pada Malam Penghargaan dan Majlis Makan Malam Sempena Tamat Latihan PALAPES UniMAP berharap agar segala kerjasama yang terjalin antara UniMAP dan pihak sekolah dapat diteruskan dengan pelbagai perancangan dan agenda dapat direncanakan dalam usaha membantu mereka yang memerlukan sekaligus memupuk minat para pelajar dari peringkat sekolah untuk mencintai bidang sains dan teknologi.
Sementara itu, pada majlis tersebut turut diraikan adalah 261 orang Pegawai Kadet PALAPES UniMAP yang telah berjaya menamatkan Latihan Kem Tahunan selama dua minggu di Felda Bukit Tangga, Bukit Kayu Hitam Kedah.