- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Hazrul Hisham, Suhana Johan Tilawah Al-Quran UniMAP 1436H
KANGAR, 24 Jun — Kakitangan Jabatan Pembangunan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Hazrul Hisham Hamid serta Suhana Shaari dari Pusat Pembangunan Korporat dan Pengurusan Kualiti (PUSPEK) dinobatkan sebagai Johan Tilawah Al-Quran dan Hafazan peringkat UniMAP, semalam.
Kedua-dua peserta yang membaca Surah Al-Furqan masing-masing memperoleh 80 dan 63 markah berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM300 dan sijil penghargaan.
Manakala tempat kedua dimenangi Azrie Ibrahim dari Pusat Bahasa Antarabangsa dan Nur Atiqah Abdul Ghani dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM 200 dan sijil penghargaan.
Tempat ketiga diraih Mohd Nasir Ibrahim dari Unit Perundangan dan Siti Kamariah Md Sa’at dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses masing-masing membawa pulang RM100 dan sijil penghargaan.
Hadiah disampaikan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan. Turut hadir, Pengarah Pusat Islam UniMAP, Hassan Arshad dan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi UniMAP, Nasrudin Abd. Shukor.
Sementara itu bagi kategori hafazan yang disertai anak staf UniMAP bagi tujuh hingga sembilan tahun dimenangi Ahmad Mifzal Hadif Ahmad Nasir dengan 83 markah dengan membawa pulang wang tunai RM300 dan sijil penghargaan.
Tempat kedua diraih Sharifuddin Nafis Hizam juga dengan 83 markah dan membawa pulang wang tunai RM200 dan sijil penghargaan manakala tempat ketiga dimenangi Ahmad Suhaib Muhajir dengan 80 markah serta membawa pulang wang tunai RM 100 bersama sijil penghargaan.
Bagi kategori 10 hingga 12 tahun, Solahuddin Aiman Hizam muncul juara selepas mengutip 98 markah dan membawa pulang RM300 dan sijil penghargaan manakala tempat kedua kategori berkenaan diraih Muhammad Ammar Mohd Zahiruddin dengan catatan 96 markah membawa pulang wang tunai RM200 bersama sijil penghargaan serta tempat ketiga dimenangi Siti Syaza Jaizzah Zol Bahri, 94 markah membawa pulang RM 100 dan sijil penghargaan.