- المجموعة: BERITA - Malay
MoU UniMAP dan UniKL Mantapkan Agenda TVET
Kangar,7 Mac – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Universiti Teknikal Mara Sdn Bhd (UniKL) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) pada 26 Februari, baru-baru ini.
Majlis berkenaan diadakan di Bangunan Canselori, UniKL di Kuala Lumpur bagi merealisasikan perbincangan awal sejak tahun lalu menerusi penyeliaan bersama dan bidang penyelidikan serta menunjukkan komitmen antara UniMAP dan UniKL sekaligus merapatkan hubungan kerjasama yang sedia terjalin di antara universiti awam dengan universiti swasta.
Dokumen MoU itu ditandatangani oleh Pemangku Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Presiden UniKL, Dato’ Prof Dr Mazliham Mohd Su’ud dengan disaksikan oleh, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP Dr. Khairel Rafezi Ahmad, Professor di Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan UniMAP Prof. Dr. Mohd Noor Ahmad, Timbalan Presiden Akademik dan Teknologi, UniKL, Prof. Dato' Dr. Azanam Shah Hashim, Dekan British Malaysia Institute (BMI), UniKL Prof.Madya Dr. Mohd Izhar Abu Bakar, dan Pensyarah Kanan, BMI, UniKL Dr. Mohd Azraie Mohd Azmi.
Dato’ Zul Azhar berkata, memorandum persefahaman itu dicapai bagi memantapkan agenda Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) berdasarkan pengalaman serta kepakaran yang dimiliki UniMAP serta UniKL.
“Kerjasama dalam bidang penyelidikan juga dapat dilaksanakan melalui kajian dalam bidang ‘nanobiosensor’ berasaskan Graphene Oksida untuk mengesan penyakit kanser di peringkat awal.
“Selain itu, kerjasama juga melibatkan permohonan geran bersama daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Malaysia seperti ‘Long-term Research Grant Scheme (LRGS)’, ‘Fundamental Research Grant Scheme’ (FRGS), ‘Transdisciplinary Research Grant Scheme (TRGS), dan ‘Collaborative Research in Engineering Science and Technology (CREST)’ yang melibatkan kerjasama antara universiti dan syarikat.,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini.
Terdahulu melalui Centre of Excellence for Advanced Sensor technology (CEASTech), UniMAP bersama Spanish Malaysian Institute, Kulim, Kedah telah melaksanakan kerjasama penyelidikan dan pembangunan bahan nano bagi fabrikasi penderia seperti ‘Graphen’ dan bahan filem nipis ‘Thin Film Material’ yang baru.
Kolaborasi itu juga bagi mendapatkan geran atas kerjasama dengan institusi luar negara, seperti geran Newton-Ungku Omar dan British Council. Melalui penyelidikan ini juga, kedua-dua pihak akan memulakan ‘start-up company’.