- Category: BERITA - Malay
- Written by Aininulniza
JBPM LAKSANA PROSES SANITASI BAS UniMAP
Oleh : Suhana Abd Mutalib
Pauh Putra, 27 April - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis menerusi Balai Bomba Arau mengetuai operasi sanitasi untuk bas Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang akan digunakan dalam penghantaran pulang pelajar-pelajar universiti tersebut ke kampong halaman bermula 29 April ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, proses sanitasi itu membabitkan lapan buah bas dan empat buah van yang akan bergerak menuju zon pertama penghantaran iaitu zon utara membabitkan negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pada 29 April ini.
“Sanitasi ini dilakukan bagi memastikan kenderaan yang digunakan untuk menghantar pelajar sentiasa bersih dan selamat untuk kegunaan pelajar. Melalui proses ini, kami berharap pelajar akan dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing dengan selamat.
"UniMAP akan memastikan Tatacara Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan Kementerian Pengajian Tinggi akan dipatuhi sepenuhnya dan ini termasuklah menguruskan penghantaran pulang pelajar-pelajar yang tinggal di dalam negeri Perlis sendiri," ujarnya.
Proses sanitasi yang bermula pada pukul 9 malam itu membabitkan 9 anggota JPBM dengan tiga tangki semburan ke atas keseluruhan bas dan van yang terlibat. Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan, Mustaffa Ismail dan Pengarah Pusat Perumahan Pelajar, Dr. Hirwan Jasbir Jaafar.
Mengulas lanjut, Prof. Foad berkata, seramai 491 pelajar UniMAP memililh untuk pulang ke kampung masing-masing manakala terdapat sekitar 220 pelajar memilih untuk terus kekal di asrama.
“Bagi para pelajar yang ingin pulang, pihak universiti menerusi Pusat Kesihatan Universiti (PKU) akan melaksanakan proses saringan kesihatan bagi memastikan tahap kesihatan pelajar adalah memuaskan sebelum dibenarkan pulang.
“Bagi pelajar yang mempunyai gejala yang berkaitan Covid-19 atau suhu badan melebihi 37.5 darjah celcius ke atas, mereka tidak akan dibenarkan pulang. Dalam pada itu bagi pelajar yang memilih kekal di asrama, pihak UniMAP akan terus memastikan kebajikan dan keselamatan mereka terjamin,” jelasnya.