A+ A A-

Kembara Di Bumi Asean: Lawatan Akademik Dan Program Masyarakat Di Nakhon Si Tammarat

Padang Besar, 30 Julai –Seramai 26 pelajar mengikuti lawatan akademik dan khidmat masyarakat ‘Kembara Di Bumi Asean’ selama tiga hari dua malam anjuran Kolej Kediaman Uniciti ALAM Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bersama komuniti di Thasala, Nakhon Si Tammarat Thailand.

Kembara  yang disertai pelajar dari pelbagai kolej kediaman UniMAP itu bermula di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Padang Besar sebelum ke Bandar Hatyai dan seterusnya ke Nakhon Si Tammarat.

Pengetua Kolej Kediaman Uniciti Alam, Syed Akhmal Syed Jamalil berkata tujuan  program kembara ASEAN ini adalah sebagai salah satu menyerlahkan UniMAP di persada antarabangsa menerusi lawatan akademik dan khidmat masyarakat.

Katanya, Walailak University merupakan destinasi pertama deligasi yang turut disertai enam orang Penolong Pengetua, Pengurus Asrama dan kakitangan kolej kediaman itu bagi program lawatan akademik.

“Di Walailak University, pelajar diberi pendedahan tentang gaya hidup serta budaya pelajar di universiti yang mempunyai 700 pelajar itu sekaligus meningkatkan peluang memantapkan struktur kolej kediaman di universiti kita,” katanya.

Menurut Syed Akhmal, selain lawatan akademik berkenaan deligasi turut mengadakan program khidmat masyarakat di Prateepsat Ismail Memorial School dan Madrowsatul Ulumiddeen dengan memberi sumbangan berupa alat tulis dan wang tunai.

“Deligasi berpeluang mengadakan aktiviti kemasyarakatan iaitu mengajar pelajar di sekolah agama, memberi sumbangan kepada sekolah pondok swasta serta sukaneka bersama pelajar.

“Secara tidak langsung, program seperti ini bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar tetapi mampu mempromosikan universiti, negeri Perlis dan Malaysia kepada masyarakat Asean khususnya Thailand,” katanya.

Deligasi UniMAP itu turut berpeluang melawat Wat Phra Mahathat di bandar Nakhon Si Tammarat yang merupakan antara kuil terpenting di negara Thailand selain tercatat antara Tapak Warisan Dunia UNESCO.