- Kategori: DMNC - malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
DMNC MAC 2017
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam 1 Malaysia
Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Azzawajalla kerana dengan keizinanNya, kita kini telah melangkah ke bulan Mac – bulan terakhir bagi suku pertama tahun 2017. Seperti kebiasaan juga, saya amat bersyukur kerana terus diberikan peluang dan kesempatan untuk menitipkan kata untuk ruangan Dari Meja Naib Canselor ini.
Terlebih dulu di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Dekan dan Ketua Jabatan UniMAP yang telah dilantik pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Jabatan bagi tempoh lantikan bermula 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019. Pelantikan ini hadir bersama amanah dan tanggungjawab yang cukup besar. Justeru saya amat yakin dan percaya barisan Dekan dan Ketua Jabatan yang baharu ini akan dapat bekerja bersama-sama saya dalam memacu kegemilangan UniMAP sehingga ke persada antarabangsa seterusnya menjadi 500 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.
Dalam sesi kepimpinan kali ini juga, saya dan Pengurusan Tertinggi UniMAP telah melakukan sedikit transformasi dalam penstrukturan dan penyusunan semula bidang tugas serta unit-unit yang tertentu. Unit Media misalnya, telah disatukan dengan Unit Komunikasi Korporat (UKK) sebagaimana yang menjadi amalan di Universiti Awam (UA) lainnya. Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) juga telah dimasukkan fungsinya di dalam Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan (IKSK) manakala Unit Kelayakan dan Akreditasi (UNIKA) disatukan fungsinya di bawah Bahagian Pengurusan Akademik yang diterajui oleh Dekan yang baharu.
Setelah mengambil kira pandangan dan hasrat dari barisan EXCO Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (POTENSI), saya juga memberikan komitmen penuh untuk melantik pentadbir yang berkelayakan sebagai Ketua Jabatan bagi unit-unit bukan akademik. Semoga dengan pelantikan ini juga akan terus meningkatkan kredibiliti dan kemampuan pentadbir UniMAP ke tahap yang lebih tinggi.
Ingin saya tekankan di sini, kita kini telah berada di fasa terakhir dalam menggapai misi yang ditetapkan, dan keseluruhan Dekan dan Ketua Jabatan yang dilantik inilah yang akan memandu setiap Pusat Pengajian, Jabatan dan Unit untuk merealisasikan hasrat ini. Untuk itu, saya ingin menyeru agar semua Dekan dan Ketua Jabatan menjadikan dirinya sebagai sumber rujukan, teladan dan ikutan atau dalam erti kata lain ‘role model’ kepada orang sekelilingnya. Untuk itu, saya juga mengharapkan barisan kepimpinan baharu yang dilantik ini berpegang kepada tiga teras kekuatan iaitu mempunyai tenaga aura yang positif, berpengetahuan luas dan mempunyai integriti yang tinggi dalam melaksanakan amanah masing-masing.
Pada hari ini, pemimpin harus memantapkan kompetensi mereka seiring dengan perkembangan teknologi masa kini. Oleh itu, bukan saja ketua jabatan, tetapi juga semua staf perlu melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu baru dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh kita.
Bagi integriti pula, ia bukan hanya terfokus kepada isu-isu rasuah sahaja, malah ia merupakan satu konsep yang lebih besar. Seperti contoh dalam amalan budaya kerja yang menuntut integriti dalam ketepatan waktu, penyampaian maklumat, integriti dalam memberi perkhidmatan terbaik, integriti dalam berhubung dengan ketua jabatan, rakan sekerja dan juga kakitangan sokongan.
Saya yakin, jika semua nilai-nilai ini ada pada semua warga UniMAP, InsyaAllah apa yang kita rancangkan selam ini akan tercapai. Rasanya cukuplah coretan saya buat kali ini, semoga segala usaha yang kita lakukan ini akan dipermudahkan dan diberkati Allah Azza Wajalla.
Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.