A+ A A-

DMNC JUN 2017

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Negaraku Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

Kita kini telah melangkah ke bulan terakhir yang akan menggenapkan tempoh separuh tahun pertama bagi tahun 2017. Lebih bermakna lagi, ia juga bertepatan dengan bulan rahmat dan penuh keberkatan iaitu bulan Ramadhan Al-Mubarak. Saya yakin dan pasti semua orang tahu akan kelebihan bulan yang mulia ini.

Ramadan adalah satu bulan yang mulia lagi barakah,bulan utama dari bulan – bulan yang lain dan hal ini diperjelaskan dari sabda Rasulullah SAW maksudnya : Dialah (bulan Ramadan) bulan kesabaran dan pengajaran. Ganjaran kesabaran ialah Syurga. Di awal Ramadan disediakan kerahmatan, ditengahnya pengampunan dan diakhirnya dibebaskan dari api neraka.

Sebagaimana kita berusaha untuk mencapai petunjuk prestasi yang ditetapkan oleh Allah di bulan Ramadhan, begitu juga halnya dengan pekerjaan kita. Sewajarnya kita kini telah berada di fasa yang lebih agresif dalam memastikan setiap petunjuk prestasi (KPI) yang ditetapkan berada pada landasan terbaik untuk dicapai. Atas dasar itu, sepanjang bulan Jun ini, saya telah menetapkan satu sesi Jerayawara Pembentangan KPI Pusat Tanggungjawab (PTj) 2017 bagi mendengar pencapaian semasa PTj di UniMAP dan pada masa sama menilai kembali sasaran KPI yang telah ditetapkan. Melalui cara ini, saya percaya, UniMAP akan terus memacu kegemilangan di persada pendidikan negara dan antarabangsa.

Pada bulan Jun juga, UniMAP menerima kelompok baharu pelajar bagi mengikuti Program Pengajian Diploma dengan anggaran pelajar sekitar 400 orang (termasuk ambilan kedua). Sebagaimana yang saya katakan di dalam ucapan sewaktu Majlis Sambutan Siswa Siswi, selain pengajaran dan pembelajaran, pelajar perlu membangunkan potensi diri masing-masing dalam pelbagai aspek sama ada khidmat sosial, sukan, kebudayaan, kepimpinan dan lain-lain lagi dalam usaha mendepani cabaran pendidikan dan pekerjaan masa hadapan. Pada masa sama, pelajar juga perlu mempunyai sikap dan nilai murni yang baik terutama dalam aspek menjaga peralatan, makmal dan prasarana yang telah disediakan di UniMAP. Saya juga mengharapkan, para pelajar baharu ini dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kampus UniMAP baik di Kampus Kangar, Uniciti mahupun kampus tetap di Pauh Putra.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat maju jaya kepada para pelajar Ijazah Sarjana Muda yang akan menduduki peperiksaan akhir sepanjang bulan Jun ini. Pastikan semua kelengkapan, alat tulis serta dokumen pengenalan diri di bawa ke Dewan Peperiksaan.

“Man Jadda Wa Jadda – Siapa berusaha bersungguh-sungguh pasti akan berjaya”

 Sekian, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Terima kasih.

YBhg Dato' Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal

Naib Canselor

1 Jun 2017

Tagged under: DMNC ,