A+ A A-

DMNC Julai 2014

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Satu Malaysia 

“Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP


Alhamdulillah, bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam telah tiba, bulan yang penuh barakah Ramadhan Al Mubarak 1435 H. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa kepada semua staf dan pelajar yang beragama Islam. Kepada yang bukan Islam, mungkin ini satu kesempatan untuk mengenali Islam dengan lebih dekat lagi. Pada bulan ini, Allah S.W.T menawarkan pelbagai insentif untuk direbut oleh umat Islam menerusi amal ibadat yang mereka lakukan. Inilah masa yang tepat untuk kita memperbanyakkan ibadah bukan sahaja dalam aspek amalan sehari-hari tetapi juga pekerjaan kita sehari-hari. Semoga dengan cara ini, kita dapat menggandakan pahala dan meningkatkan keikhlasan untuk bekerja.


Ingin saya peringatkan - puasa bukanlah suatu alasan untuk kita bermalas-malasan atau menjadi tidak giat dalam urusan kerja harian. Bekerja juga adalah suatu jihad, dan ia adalah satu ibadah bagi umat Islam. Malah dengan kedatangan Ramadhan, kita harus lebih rajin lagi. 


Jika kita menelusuri sejarah tamaddun Islam, dalam bulan Ramadhanlah banyak peristiwa penting berlaku, dan kesemuanya menuntut kekuatan jasmani kaum muslimin terdahulu, walaupun pada ketika itu mereka sedang menjalani ibadat puasa. Akan tetapi suasana yang sebaliknya berlaku kepada umat Islam sekarang. Kita perlu ambil iktibar daripada umat Islam terdahulu dari sudut bagaimana mereka mengharungi Ramadhan tanpa perlu menggunakan alasan berpuasa untuk lari daripada melaksanakan tanggungjawab mempertahankan dan meninggikan syiar Islam.

Saya harap setiap staf dan pelajar UniMAP tidak menjadikan alasan tidak dapat makan dan minum di siang hari untuk kurang melaksanakan tanggungjawab serta amanah yang diberikan. Dalam pada itu, jangan lupa bahawa Allah SWT lah yang memberi rezeki kepada kita semua, sebagaimana firman Nya: 

“Sesungguhnya Allah Dialah saja yang memberi rezeki kepada sekalian makhluk- Nya dan Dialah saja yang mempunyai kekuasaan yang tidak terhingga lagi Yang Maha Kuat Kukuh Kekuasaan-Nya.” 


 
Kesimpulannya, pada bulan Ramadhan kita perlu meningkatkan kerja serta amalan kerohanian demi mengejar pahala yang berlipatganda yang dijanjikan Allah S.W.T.

Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada UniMAP Holding dan semua jawatankuasa dalam memastikan kejayaan dan kelancaran The 4th International Malaysia-Ireland Joint Symposium on Engineering, Science and Business (IMiEJS) 2014 yang berlangsung pada 25 dan 26 Jun 2014 di Hydro Hotel, Pulau Pinang.  Semoga Allah membalas jasa baik anda semua.

Saya difahamkan, IMiEJS 2014 disertai lebih 20 buah negara antaranya tuan rumah, Malaysia, Ireland, Indonesia, England, Thailand, Filipina, Mexico dan lain-lain lagi, serta sebanyak 100 kertas kerja akan dibentangkan dan 23 poster dipertandingkan pada IMiEJS 2014 kali ini. Majlis perasmianya disempurnakan Duta besar Ireland ke Malaysia iaitu H.E Declan Keelly.

 

Sebelum mengakhiri coretan pada kali ini, ingin saya kongsikan mengenai kejayaan yang berjaya kita raih  di Mumbai,  India baru-baru ini.  UniMAP telah meraih anugerah “Award for Outstanding Contribution to Education”.  Anugerah tersebut dianugerahkan oleh  World Chancellors and Vice Chancellors Congress and Award. Ini menunjukkan, sumbangan kita dalam bidang akademik diiktiraf dunia. Syabas dan Tahniah kepada semua warga UniMAP. Rasanya cukuplah coretan saya untuk bulan ini, InsyaAllah, bertemu lagi di bulan hadapan, Salam Ramadhan, sekian.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh