A+ A A-

Dari Meja Naib Canselor (Feb 2014)

" Gong Xi Fa Cai "

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan  Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya, saya masih diberikan kesempatan untuk mencoret sedikit kata-kata untuk DMNC edisi Febuari 2014 ini.

Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina sama sanak saudara dalam keadaan gembira. Dalam keseronokan itu, janganlah dilupa keselamatan ketika berada di jalan raya.

Sempena tempoh hujung minggu yang panjang ini, dan selaras dengan hasrat untuk menjalankan perbelanjaan berhemah, warga kampus diminta menutup semua suis serta mencabut semua plug peralatan elektrik sebelum meninggalkan pejabat/makmal/asrama. Jadikanlah ini sebagai amalan bukan sahaja semasa musim perayaan, tetapi juga setiap hari sebelum pulang ke rumah. Ini kerana walaupun peralatan elektrik sudah dipadam, namun, ia masih menyedut tenaga sekiranya plug tidak dicabut daripada poin kuasa di dinding. Ini sebenarkan suatu pembaziran elektrik, dan ia dimanifestasikan dalam bil elektrik kita yang sangat tinggi.

Baru-baru ini saya bersama beberapa ketua jabatan serta Naib Canselor IPTA dan IPTS telah dijemput bagi mendengar perutusan yang disampaikan oleh Y.A.B Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Malaysia, Tan Sri Dato' Haji Muhyidin Haji Mohd Yassin di Putrajaya. Beberapa amanat berguna telah disampaikan untuk dijadikan panduan kita semua. Antaranya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meletakkan sasaran bagi memperkasakan kualiti penyelidikan yang berimpak tinggi melalui beberapa pendekatan. Alhamdulillah, pencapaian Malaysia dalam bidang penyelidikan amat membanggakan, di mana penyelidik-penyelidik negara kita telah dapat menghasilkan sebanyak 77,327 penerbitan antara 2007 hingga 2012. UniMAP turut melahirkan rasa bangga kerana sejak awal lagi, kita sentiasa menggalakkan aktiviti penyelidikan yang bukan sahaja bagi mencapai standard antarabangsa tetapi dapat juga memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini khususnya.

Sejajar dengan agenda penyelidikan Negara, pihak KPM mensasarkan keujudan 20 High COE (Centre of Excellence) menjelang 2020 berdasarkan Pelan Strategik Negara dengan peruntukan sebanyak RM27 juta bagi menjana aktiviti akademik, penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti tinggi. Selain itu, perolehan peralatan makmal ke arah mendapat pengiktirafan akreditasi seperti ISO 170 25 dan pengiktirafan-pengiktirafan lain bertaraf antarabangsa juga turut diuasahakan.

Dalam ucapan perutusan berkenaan juga, Tan Sri Dato' Haji Muhyidin Haji Mohd Yassin menggesa para pensyarah dan penyelidik menggunakan bahasa Malaysia dalam pengajaran serta penerbitan hasil kajian. Ini bagi memperkukuhkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu, sepertimana Jepun dan Korea yang meletakkan bahasa mereka di tahap yang tinggi. Sehubungan itu, saya minta semua warga UniMAP melaksanakan apa yang perlu bagi melaksanakan permintaan Menteri kita.

Sebelum mengakhiri coretan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Maju Jaya kepada Kontinjen Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2014 UniMAP yang akan berlangsung pada 3-16 Februari 2014  di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ,Shah Alam. Saya harap kita mampu mengekalkan kedudukan yang diraih tahun lalu, iaitu tempat ketiga keseluruhan daripada lebih 90 kontinjen yang mengambil bahagian.

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.