A+ A A-

Dari Meja Naib Canselor (Mac 2013)

Assalamualaikum W.B.T Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana masih lagi diberi peluang untuk saya nukilkan  sedikit kata-kata untuk bersama-sama kita bermuhasabah kali ini.

Marilah kita  mensedekahkan Al-Fatihah kepada pejuang-pejuang  negara yang telah terkorban mempertahankan kedaulatan Malaysia di Lahad Datu, Sabah. Semoga pasukan keselamatan kita di sana berada dalam keadaan selamat dan krisis ini akan dapat diselesaikan dengan cepat tanpa adanya lagi pertumpahan darah.

Saya berasa amat bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana atas keizinanNya Majlis Perasmian Kampus Induk UniMAP oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Abdul Razak, telah berlangsung dengan jayanya. Terima kasih kepada seluruh warga UniMAP yang telah memberi sokongan dan kerjasama sebelum, semasa dan selepas majlis tersebut. Saya mendapat makluman bahawa hampir 20,000 orang hadir pada majlis perasmian tersebut. Angka itu mencatatkan satu sejarah buat UniMAP. Semasa pertemuan dengan YAB Perdana Menteri, saya telah dimaklumkan tentang peruntukan 18 juta kepada UniMAP dan NCIA untuk menjalankan projek Harumanis bagi membolehkan buah tersebut dapat dinikmati sepanjang tahun. YAB Perdana Menteri juga menunjukkan komitmen apabila saya memaklumkan tentang perjuangan untuk merealisasikan penubuhan MBOT (Malaysia Board of Technologist) yang diletakkan di bawah MOSTI. Alhamdulillah, semalam saya difahamkan MBOT sudahpun diluluskan penubuhannya oleh Kabinet – pastinya susulan sokongan YAB PM. Paling membanggakan – YAB PM mengatakan bahawa UniMAP  telah membantu melonjakkan pembangunan dalam pelbagai aspek di Perlis dan mengibaratkan kita sebagai nadi kepada pembangunan negara. Saya sangat bersyukur dengan pernyataan tersebut. Malah beliau turut menyatakan bahawa Perlis Belum Memiliki Hotel Bertaraf Lima Bintang Tetapi Mempunyai Sebuah Universiti Lima Bintang. Tahniah kepada seluruh warga UniMAP.

Saya ingin berkongsi satu lagi berita gembira – iaitu pencapaian UniMAP yang terkini. Pada Majlis Malam CITRA Inovasi anjuran Kementerian Pengajian Tinggi yang diadakan pada 5 Mac lalu di Hotel Marriot Putrajaya,  tiga produk penyelidikan UniMAP meraih anugerah penghargaan atas sumbangan kita dalam menjayakan Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif Peringkat Tertiari (PTPMIIPT) yang diterajui Kementerian Pengajian Tinggi.

Tahniah buat Prof. Dr. Ismail Daut bagi produk Penyongsang dengan Kuasa Fotovolta Tanpa Pengubah; Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah bagi produk Geopolimer Simen dan Konkrit Mesra Alam dan Prof. Dr. Syed Alwee Aljunid untuk  produk Sistem Optik CDMA menggunakan Kod Pepenjuru Rawak. Ini menunjukkan dalam sedar atau tidak sedar, hasil penyelidikan penyelidik kita diiktiraf sebagai penyumbang kepada pembangunan modal insan inovatif. Oleh itu, kepada semua penyelidik, teruskan penghasilan produk penyelidikan yang berguna kepada masyarakat dan gunakan pemikiran yang kreatif dan inovatif bagi melakukan penambahbaikan kepada kehidupan seluruh masyarakat. Insyaa Allah sekiranya apa yang kita lakukan dengan hati yang ikhlas tanpa menyimpan agenda yang tertentu, ianya akan menyusul kejayaan.

Dalam bulan ini akan berlangsung  majlis tahunan kita iaitu Majlis Anugerah Seri Gemilang (ASG) yang bertujuan bagi memberi pengiktirafan kepada staf yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Oleh itu, kepada staf yang berjaya dipilih, tahniah saya ucapkan dan kepada yang tidak terpilih, janganlah berputus asa. Terus tingkatkan kecemerlangan dan sumbangan bagi memajukan UniMAP, insyaa Allah keikhlasan bekerja saudara-saudari akan dibalas dengan kebaikan setimpal usaha yang telah dibuat.