A+ A A-

Dari Meja Naib Canselor (Nov 2013)

DARI MEJA Naib Canselor NOVEMBER, 2013


Bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan keizinanNya, dapat kita meneruskan usaha membangunkan nusa dan bangsa melalui pendidikan kepada anak-anak muda di universiti yang kita cintai ini.


Tahun 2013 hampir melabuhkan tirai, dan saya merasa bangga kerana banyak usaha kita telah membuahkan kejayaan sepanjang tahun ini. Sebagai contoh, dengan kerjasama Malaysian Higher Education Leadership Academy (AKEPT) kita telah menganjurkan 12th Asian University Presidents Forum (AUPF) yang berlangsung pada 6 - 9 Oktober 2013 yang lalu. Alhamdulillah, sekitar 70 presiden dan wakil institusi pengajian tinggi dari 22 negara Asia yang datang dari 74 institusi pengajian tinggi telah hadir. YB Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh telah merasmikan Forum tersebut yang berlangsung di Kampus UniMAP Pauh Putra dan juga di Langkawi. Sebagai Pengerusi AUPF 2013, saya gembira apabila Datuk Seri Idris Jusoh meletakkan keyakinan bahawa AUPF menjadi forum terbaik ke arah meningkatkan kerjasama universiti di peringkat Asia. Selain itu, sambutan yang diterima semasa ucaptama yang disampaikan oleh Mantan Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berbahagia Tun Dr. Mahathir Mohamad pada hari yang sama amatlah memberangsangkan. Saya mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada jawatankuasa pelaksana AUPF dan juga warga UniMAP yang merealisasikan kejayaan AUPF ini.

Selaras dengan apa yang dinasihatkan oleh Tun Mahathir, saya menyeru kepada semua warga akademik UniMAP untuk mempraktikkan penggunaan Bahasa Inggeris semasa dalam kuliah. Tun Mahathir menyatakan bahawa kelemahan menguasai Bahasa Inggeris akan menjejaskan peluang graduan yang mencari pekerjaan, sekaligus memberi kesan kepada masa depan mereka. Tun juga mengatakan daripada 333 calon lepasan IPT yang dipanggil temu duga untuk jawatan berkaitan IT, hanya tujuh diterima bekerja kerana selebihnya tidak menguasai Bahasa Inggeris. Malah ada calon temuduga tersebut meminta soalan temuduga diterjemah dalam Bahasa Melayu.

Saya yakin UniMAP mampu melahirkan graduan yang hebat dalam bidang kejuruteraan, tetapi janganlah memandang enteng penggunaan Bahasa Inggeris. Banyak daripada buku-buku kejuruteraan adalah dalam Bahasa Inggeris, iaitu bahasa akademik dunia. Saya harap semua ketua jabatan menyalurkan maklumat ini kepada ahli-ahli akademik yang lainnya agar tidak ada seorang pun terlepas dari mendapat maklumat ini.

Tidak lama selepas AUPF, Ketua Setiausaha (KSU) II Kementerian Pendidikan Malaysia, Dato' Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, telah mengadakan lawatan ke UniMAP. Selepas sesi taklimat pembangunan Kampus Induk Pauh Putra di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, Dato’ Seri Zaini menyarankan agar semua IPTA mengaplikasikan kaedah pembinaan kolej kediaman yang digunapakai UniMAP. Beliau memuji kaedah pembinaan kolej kediaman yang dibangunkan tanpa menggunakan wang kerajaan tetapi dibiayai oleh sebuah syarikat pemaju iaitu Proven Holding Sdn Bhd yang kemudiannya diuruskan oleh UniMAP apabila sudah siap sepenuhnya. Alhamdulillah, usaha keras UniMAP yang ingin membantu mengurangkan bebanan kewangan kerajaan dapat dirasai dan difahami beliau. Ini merupakan satu lagi kejayaan yang kita perolehi.

 Selain bidang kejuruteraan dan perniagaan, bidang seni kontemporari merupakan salah satu kunci utama menarik minat para pelancong dari dalam dan luar negara mengunjungi negara kita.  Sehubungan itu, dan bersempena dengan “Tahun Melawat Malaysia 2014”, Pameran Karya Seni 1MCAT PERLIS IN PERSPECTIVE yang mempamerkan 90 lukisan di perkarangan Perpustakaan telah diadakan. Seramai 30 pelukis dari Persatuan Pelukis Negeri Kedah dan Perlis telah mengambil bahagian. Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Canselor UniMAP berharap agar seni kontemporari terus berkembang pesat bagi menarik kunjungan tetamu dari dalam dan luar negara. Tahniah kepada jawatankuasa penganjur yang bersama-sama mendukung hasrat Universiti untuk menabur bakti khidmat bukan sahaja dalam bidang pendidikan, tetapi juga dalam bidang seni yang tidak kurang pentingnya.

Ada beberapa berita baik yang ingin saya kongsikan di sini - kita telah mengalami penambahan koleksi pungutan anugerah bagi  2013. Baru-baru ini, UniMAP meraih kejayaan semasa Seminar Bio Malaysia dan Bio Ekonomi Asia Pasifik  ( BioMalaysia) 2013. Kita telah menghantar 16 produk penyelidikan dan berjaya meraih tiga emas, empat perak dan tujuh gangsa. Tahniah kepada Dr. Rozyanty Rahman dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan atas produk “Kenaf-Septank”: Green Hybrid Septic Tank and High Performance Composite yang mendapat Anugerah Paling Inovatif. Dua lagi produk yang memperoleh pingat emas adalah GG-Powder hasil penyelidikan Norina Hidayu Jamil dari Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) dan produk MULDEGRA oleh Dr. Sam Sung Ting dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses.

Selain itu, PECIPTA 2013 iaitu Persidangan dan Ekspo Ciptaan Institusi Pengajian Tinggi Antarabangsa telah dianjurkan secara bersama oleh UniMAP dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 7 hingga 9 November 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Ini merupakan pameran penyelidikan yang sangat penting dan kita diberi amanah dan kepercayaan untuk menganjurkan pameran tersebut.

Alhamdulillah UniMAP telah berjaya meraih meraih 16 Emas, 19 Perak dan 16 Gangsa termasuk bagi kategori penyelidikan Institut Pengajian Tinggi dan penyelidik muda ENVEX Young Researcher Club (EYReC) sekaligus membolehkan kita muncul sebagai mengekalkan kedudukan di tempat pertama pada PECIPTA 2013.

  Sebagaimana biasa, UniMAP tidak kurang hebatnya dalam arena sukan. Tahniah saya ucapkan kepada semua yang telah terlibat dalam Kejohanan Olahraga tertutup UniMAP ke - 9 dan Kejohanan Olahraga Terbuka UniMAP ke – 2 baru-baru ini, khususnya Olahragawan Senior UniMAP 2013 Mohammad Firdaus Jamen, Olahragawati Senior UniMAP 2013 Siti Fatimah Ustad Latif, Olahragawan Veteran UniMAP 2013 Ir Pungut Ibrahim, dan Olahragawati Veteran UniMAP 2013 Zuraida Desa.

Saya juga cukup berpuas hati dengan penganjuran ASIAN University Woodball Championship yang telah diadakan buat julung kalinya di negara ini. Kejohanan ini telah berlangsung pada 1 hingga 6 November lalu di mana menyaksikan pasukan daripada Thailand telah mengungguli bagi kedua-dua kategori lelaki dan wanita . Ia telah disertai oleh 42 wakil dari 16 negara, antaranya  adalah tuan rumah Malaysia, China, Singapura, Taipei, Mongolia, Korea, Thailand dan lain-lain lagi.

Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua jawatankuasa yang telah bertungkus lumus bekerja keras dalam memastikan kejohanan ini berjalan lancar, terutama sekali kepada Pusat Sukan UniMAP.

Alhamdulillah, satu lagi kejayaan telah kita kecapi apabila kontigen UniMAP kerana berjaya meraih tujuh pingat emas, dua perak dan satu gangsa sekaligus  mengungguli Kejohanan Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) Kali ke 38 buat kali keenam berturut-turut.

 

Pingat emas disumbang oleh acara bola sepak senior, bola tampar lelaki, tenis campuran, futsal wanita, woodball campuran, olahraga lelaki senior dan olahraga wanita senior. Manakala  pingat perak disumbangkan dari acara boleh padang lelaki dan tenpin bowling lelaki serta pingat gangga diperoleh melalui acara hoki. Tahniah saya ucapkan, rasanya, cukuplah coretan saya untuk kali ini, semoga lebih banyak kejayaan yang akan diraih UniMAP di masa akan datang.

  Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.