- Kategori: DMNC - malay
- Ditulis oleh Mohd Afif Md Jamel Khir
Dari Meja Naib Canselor (Ogos 2013)
Dari Meja Naib Canselor SALAM SYAWAL 1434H
Assalamualaikum W.B.T
Alhamdulillah, beberapa hari saja lagi, seluruh umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan Syawal, bulan kemenangan bagi mereka yang berjaya menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan. Ia merupakan lambang kemenangan umat Islam hasil dari "peperangan" menentang musuh dalam jiwa yang terbesar, iaitu hawa nafsu.
Dalam kegembiraan dan kemeriahan menyambut Aidilfitri, jangan kita lupakan mereka yang kurang bernasib baik seperti fakir miskin dan anak-anak yatim yang hidup dalam kesusahan. Setiap warga Universiti seharusnya memberi sesuatu yang boleh menggembirakan mereka seperti pakaian, makanan atau apa jua yang boleh mengubat kesedihan di hati mereka. Ini tanda bahawa masih ada yang prihatin dengan kehadiran mereka di dunia ini. Bantulah sekadar yang kita mampu bagi meringankan beban insan-insan yang kurang bernasib baik ini. Biar sedikit yang diberikan, namun pemberian yang ikhlas menjadi tuntutan. Semoga ini menjadi ibadah apabila dihisab oleh Allah swt di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah S.A.W: “Seorang muslim adalah saudara bagi muslim. Dia tidak boleh menganiaya saudaranya dan tidak boleh pula membiarkan saudaranya teraniaya oleh orang lain. Barang siapa yang membantu (mencukupkan) keperluan atau hajat saudaranya, maka Allah Ta‘ala membantunya (mencukupkan) keperluan atau hajatnya. Dan barang siapa yang melapangkan kesulitan seorang muslim, maka Allah Ta‘ala melapangkan kesulitannya kelak di Hari Kiamat. Dan barangsiapa yang menutup aurat (keburukan) orang muslim, maka Allah menutupi pula keburukannya kelak di Hari Kiamat." (Hadis riwayat Bukhari)
Marilah kita bersama-sama bersyukur dengan keamanan yang kita kecapi selama ini, dan berdoa agar saudara kita di bumi Syria, Palestin, Mesir, Lubnan dan lain-lain lagi kembali beroleh keamanan.
Kita hendaklah bersyukur kerana di Malaysia, kita hidup dalam suasana aman dan damai dan dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna. Kita tidak perlu melarikan diri daripada apa-apa serangan atau bencana dan malapetaka. Tetapi janganlah kita merasa begitu selesa dengan apa yang kita kecapi ini kerana jika kita tidak berjaga-jaga dan tidak berusaha meningkatkan daya tahan kita, apa yang kita kecapi ini mungkin tidak dapat bertahan.
Saya ingin mengingatkan mereka yang akan pulang ke kampung di hari raya ini, berhati-hatilah di jalanraya. Semoga perjalanan anda selamat sampai ke destinasi yang dituju dan sentiasa dirahmati Ilahi
Akhir kata, dengan kerendahan hati, saya bagi pihak diri, isteri, anak-anak dan seisi keluarga mengambil kesempatan menyusun sepuluh jari memohon maaf zahir dan batin atas apa jua kesalahan mahupun kekhilafan yang telah dilakukan.
… Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin…