- Kategori: DMNC - malay
DMNC September 2014
SALAM KEMERDEKAAN KE -57
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP
Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberikan peluang untuk bertemu sekali lagi di ruangan Dari Meja Naib Canselor edisi September. Walaupun kita sudah berada di bulan September, semangat kemerdekaan masih dirasai. Masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke-57, dengan tema pada tahun ini iaitu “Malaysia, Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta” yang diambil dari lirik lagu “Warisan” nyanyian Allahyarham Sudirman Haji Arshad.
Bagi saya, Malaysia tempat di mana berputiknya rasa cinta. Kecintaan kepada Negara menjalinkan hubungan rohani sesama kita. Walau apa jua bangsa, agama dan warna kulit,walau tidak mengenali antara satu sama lain - atas nama Negara Malaysia, kita bersatu dan rela menggadai nyawa bagi memastikan kesejahteraan Negara yang bernama Malaysia ini. Wujudnya perasaan cinta inilah yang membolehkan kita semua hidup dengan aman dan makmur. Alhamdulillah. Semoga dengan kemerdekaan ke – 57 ini, warga Malaysia lebih matang dalam memahami dan bertoleransi antara satu sama lain, seterusnya mengekalkan keamanan untuk generasi akan datang. InsyaAllah.
Di kesempatan ini juga, ingin saya mengucapkan SELAMAT DATANG kepada pelajar-pelajar baru pengambilan Ijazah bagi sidang Akademik 2014/2015 yang mendaftarkan diri pada 1 September 2014. Saya dan seluruh anggota pengurusan tertinggi UniMAP amat berbesar hati menerima kehadiran anak-anak pelajar di sini. Sebaik sahaja mendaftarkan diri di UniMAP, anak-anak semua adalah sebahagian daripada ahli keluarga besar Universiti ini. Menjejakkan kaki di menara gading sebenarnya bukanlah satu misi yang enteng. Anak-anak pelajar sebenarnya sedang menggalas harapan yang diberikan ibu bapa untuk membuat perubahan kepada diri, dan ianya menjadi titik permulaan langkah untuk mencorak masa depan yang lebih gemilang untuk menjadi penyumbang kemajuan bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada keluarga, bangsa, agama dan negara. InsyaAllah.
Saya harap anak-anak pelajar akan memanfaatkan sepenuhnya segala peluang yang diberikan dan gunakanlah segala kemudahan yang telah disediakan oleh Universiti ini dengan sebaik-baiknya. Berikan fokus dalam pelajaran dan realisasikanlah harapan menggunung ibu bapa dan negara.
Kepada semua pendidik di UniMAP, ingin saya tegaskan bahawa keikhlasan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab perlu disematkan. Mulakan segalanya dengan niat yang betul. Sesungguhnya tugas yang dilaksanakan itu merupakan ibadat yang diamanahkan oleh Allah SWT. Semoga apa yang kita laksanakan mendapat keredaan daripadaNya.
Sekian, Wabillahittaufiq Walhidayah,Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.