- Kategori: DMNC - malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
DMNC - Julai 2015
PERUTUSAN Naib Canselor UNIVERSITI MALAYSIA PERLIS (UniMAP) SEMPENA HARI RAYA AIDILFITRI
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Ilmu Keikhlasan Kecemerlangan UniMAP
Saudara muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah Aza Wajalla sekalian,
Dalam kita menghitung detik untuk menyambut lebaran Syawal 1436 Hijrah yang bakal menjelma tidak lama lagi, marilah kita memanjatkan kesyukuran kehadratNya Yang Maha Agung kerana masih dapat meraikan Aidilfitri dalam suasana yang aman dan harmoni.
Sambutan Aidilfitri ini adalah tanda kemenangan kita menewaskan musuh yang ada dalam diri kita sendiri iaitu hawa nafsu. Kita bertarung menahan diri dari lapar dan dahaga serta mentarbiahkan diri dengan amal ibadah sepanjang bulan Ramadan untuk menjadi hambaNya yang lebih baik.
Walaupun dalam keseronokan, janganlah kita terlalu leka sehingga melebih-lebih dalam menyambutnya. Sebelum memulakan perjalanan pulang ke kampung, pastikan keselamatan kediaman saudara saudari dan periksalah kenderaan agar berada dalam keadaan yang baik. Maklumkan kepada jiran sepanjang ketiadaan saudara saudari di rumah. Malah laporkan kepulangan saudara saudari ke balai polis yang berdekatan agar memudahkan sesi rondaan anggota bertugas di kawasan kediaman kita.
Apabila memandu, pandulah dengan berhemah. Sentiasa berwaspada dan bersabar dalam apa jua situasi yang dihadapi dalam pemanduan. Ingatlah mereka yang menanti saudara saudari di rumah. Biarkan kepulangan kita nanti disambut dengan kegembiraan, bukannya tangisan. Bak kata pepatah, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya.
Dalam kita bergembira menanti detik tibanya Syawal yang mulia, sama-samalah kita saling mengingati hak-hak golongan asnaf yang memerlukan perhatian dan sokongan agar dapat bersama-sama meraikan Aidilfitri. Untuk itu, tunaikanlah kewajipan kita dengan menunaikan zakat fitrah pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Untuk itu, saya Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan seluruh warganya mengambil kesempatan ini ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh kaum muslimin dan muslimat.
Biar Hati Sejernih Air
Jangan Pula Dipenuhi Lumpur
Kalau Salah Belum Berakhir
Moga Diampun Dengan Rasa Syukur
Jika Budi Dipenuhi Ikhlas
Jangan Ia Disulam Tuba
Jika Ada Salah Belum Dibalas
Pohon Keampunan Di Hari Raya
Biar Amarah Disunting Senyum
Ibarat Pekerti Disulam Kasih
Pinta Dihalal Makan Dan Minum
Moga Rezeki Tidak Tersisih
Sekali lagi, pesanan saya…,
‘Jadikan Syawal ini, Syawal yang dinanti, bukanlah Syawal yang ditangisi’
“Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin”.