- Kategori: DMNC - malay
DMNC April 2013
Assalamualaikum warah matullah, salam sejahtera, salam perpaduan, salam Satu Malaysia, UniMAP di hati Alhamdulillah, baru-baru ini kita telah dimaklumkan tentang pembubaran Parlimen untuk memberi laluan kepada persiapan Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13).
Oleh itu, saya ingin memperuntukkan keseluruhan DMNC kali ini untuk menyampaikan hasrat saya tentang persiapan yang semua warga UniMAP harus lakukan untuk mendepani PRU ini.
Sebagaimana pernah saya sebutkan di ruangan ini dahulu, dewasa ini, universiti seolah-olah menjadi medan politik partisan yang selama ini tidak pernah berlaku di negara kita. Khususnya apabila heboh tentang perhimpunan ‘Bersih’ dahulu, sorotan berita menunjukkan perbalahan demi perbalahan telah dicetuskan melalui pelbagai media, terutamanya media cetak dan elektronik.
Kini, dengan menjelangnya PRU, saya seru setiap warga UniMAP untuk memastikan tidak ada sebarang bentuk kegiatan politik dilakukan di dalam perkarangan kampus kita. Saya sudahpun menubuhkan beberapa pasukan yang tugasnya meninjau dengan rapi aktiviti-aktiviti yang berlaku dalam kawasan universiti. Sekiranya saya menjumpai ada unsur-unsur yang tidak sihat berlaku di sini, maka saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya. Sebagaimana disebutkan di dalam Akta, penjawat awam tidak dibenarkan sama sekali melakukan kegiatan politik. Namun, kelonggaran diberikan kepada pelajar, tetapi ia hanyalah dibenarkan di LUAR kawasan kampus.
Wajar saya memperingatkan bahawa tugas kita sangat berat sekali. Baik staf mahupun pelajar, kita ini orang-orang yang menghuni dunia pendidikan, di mana kita berjuang mati-matian mencari kebenaran melalui ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan yang ditimba, kita bertanggungjawab menggunakannya untuk membina masa hadapan yang lebih baik untuk bangsa, negara, dan tanah air.
Semasa di usia muda, saya telah melalui zaman di mana keamanan yang kita kecapi sekarang ini tidak terdapat. Semasa kejadian 13 Mei, saya telah lihat dengan mata kepala saya sendiri bagaimana pertumpahan darah dilakukan, hingga mengorbankan begitu banyak nyawa yang tidak berdosa. Ada antara korban 13 Mei itu terdiri daripada ahli keluarga dan sahabat handai saya. Setelah mengetahui betapa peritnya hidup dalam keadaan terdesak dan ketakutan seperti di waktu itu, saya bertekad untuk melakukan segala yang saya mampu bagi memastikan kejadian yang sama tidak berulang lagi.
Malangnya ramai anak-anak muda hari ini tidak tahu dan tidak mengerti betapa besarnya nikmat keamanan yang kita kecapi. Mereka tidak bersyukur. Sebaliknya, dengan berpandukan emosi, mereka terikut-ikut dengan hasutan yang disampaikan pihak-pihak berkepentingan. Mereka tidak sedar bahawa mereka sebenarnya ditunggangi orang-orang yang tidak bertanggungjawab, yang hasratnya ialah membuat kekacauan di bumi bertuah ini.
Saya menyeru kepada semua warga UniMAP untuk berfikir dengan sematang-matangnya, sebagaimana sewajarnya golongan cediakawan berfikir, sebelum mengambil keputusan berpihak kepada mereka yang tidak amanah.
Wajar diingatkan visi dan misi institusi pengajian tinggi adalah untuk melahirkan modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Dari itu seharusnyalah pelajar memberi fokus yang tidak berbelah bagi kepada pelajaran, dan staf pula menyediakan suasana yang sebaik-baiknya untuk mengembangkan minda intelektual dalam kalangan pelajar. Politik partisan boleh menunggu beberapa tahun lagi. Selagi di universiti, tugas pelajar adalah belajar. Sekiranya hendak berpolitik, nescaya pelajaran akan terabai, dan cita-cita untuk bergraduasi besar kemungkinan perlu dibuang begitu sahaja. Lihatlah prestasi akademik mereka yang berpolitik – rata-rata mereka ini mempunyai gred yang rendah, yang menunjukkan bahawa aktiviti politik yang mereka ceburi itu menjadi gangguan kepada pembelajaran.
Matlamat penubuhan universiti mesti dikekalkan, iaitu untuk melahirkan graduan yang tinggi kemahiran berfikir, bertindak dengan berlandaskan fakta dan mempunyai nilai jati diri yang tinggi. Tindakan tegas akan diambil ke atas pelajar atau staf yang mengotori minda dan cuba menyeret nama universiti ke kancah yang hina. Ini kerana tugas universiti amat berat – iaitu membina nusa dan bangsa melalui penghasilan modal intelektual. Dari itu kita tiada masa melayan politik kotor yang didalangi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
Masa hadapan Malaysia berada di tangan kita, di mana undi yang bakal kita buang akan menentukan samada negara ini kekal aman seperti sekarang, atau jatuh ke dalam perangkap huru-hara. Apabila sudah huru-hara, maka akan susahlah untuk keluar daripada belenggu yang sedemikian.
Gunakan fikiran yang waras dan matang semasa menilai janji-janji yang disuarakan. Sekiranya kita dijanjikan perkara-perkara yang kita sendiri rasa tidak munasabah, besar kemungkinan ianya memang tidak munasabah dan sekiranya dilaksanakan juga, akan membawa Negara ke dalam suasana krisis. Apabila itu sudah berlaku, kita perlu ‘meminta sedekah’ daripada negara-negara kaya, khususnya di Barat, yang sarat dengan syarat yang perlu kita patuhi sebelum mereka (negara-negara kaya itu) membantu kita. Adakah begitu masa hadapan yang kita hendak untuk anak-cucu kita?
Gunakanlah minda yang rasional dan intelektual untuk sampai kepada kesimpulan yang bertanggungjawab.
Selamat berbakti kepada Negara.