A+ A A-

DMNC Februari 2015

FEBRUARI 2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Satu Malaysia

Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP


Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T  kerana dengan keizinanNya, kita telah melangkah ke bulan Februari. Begitu cepat masa berlalu dan pada bulan 10 haribulan ini genaplah usia saya 60 tahun. Sudah 13 tahun lamanya saya bersama UniMAP.


Walaupun akan bersara wajib, saya bersyukur kerana masih diberikan kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memimpin UniMAP untuk tempoh setahun lagi. Begitu banyak kenangan bersama warga UniMAP sepanjang saya menjadi Naib Canselor di sini. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua warga UniMAP yang selama ini bersama-sama saya berusaha keras siang dan malam tanpa rasa jemu untuk menaikkan nama Universiti yang kita sayangi ini. InsyaAllah dalam tempoh setahun yang diberikan ini, saya akan berusaha untuk memastikan segala perancangan yang dibuat akan dapat dicapai.

Baru-baru ini, saya bersama ketua-ketua jabatan telah ke Universiti Ubudiyah, Aceh, untuk menjalankan bengkel perancangan strategik UniMAP untuk tahun-tahun yang akan datang. Bengkel ini merupakan puncak siri perbincangan yang telah diadakan beberapa bulan yang lalu, di mana sasaran-sasaran baru dimateri agar dijadikan panduan bagi perancangan tahun ini dan tahun-tahun berikutnya. Selain itu, bengkel tersebut telah memberi peluang ketua-ketua jabatan UniMAP berinteraksi dengan pensyarah-pensyarah dari Ubudiyah untuk mengenalpasti ruang-ruang kerjasama yang boleh diterokai, selain melihat sendiri kecekalan saudara-saudara kita di seberang bekerja keras membangunkan kehidupan setelah ditimpa malapetaka gempa bumi dan tsunami sekitar sedekad yang lalu. Saya pasti banyak pengajaran yang dipelajari hasil pertemuan tersebut. Saya harap segala pengajaran itu akan dimanfaatkan oleh setiap yang turut serta.

Sebelum mengakhiri coretan ini, ingin saya mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua warga UniMAP yang berketurunan Cina. Di sini saya ingin berpesan dalam keseronokan menyambut Tahun Baru Cina ini, janganlah lupa dengan keselamatan ketika berada di jalan raya. Ingatlah sanak saudara yang sedang menanti kita di kampung.

Semoga Tahun Kambing Kali Ini Memberi Seribu Makna Untuk Semua
"Gong Xi Fa Cai "

Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.