A+ A A-

DMNC Jan 20141


SELAMAT TAHUN BARU 2014

Assalamualaikum Warahmatullahi


“Selamat Tinggal 2013”, “Selamat Datang 2014”

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi kerana kita masih diberikan peluang untuk bertemu sekali lagi di ruangan Dari Meja Naib Canselor di tahun baru ini.

Tahun 2013 telah meninggalkan pelbagai pengalaman yang amat berharga. Banyak kejadian pahit dan manis telah kita lalui bersama. Semoga segala azam yang kita rencanakan tahun lalu telah tercapai dan kita mulakan tahun 2014 ini dengan semangat yang baru.

Di kesempatan ini ingin saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga UniMAP yang sentiasa bersama-sama bertungkus lumus dalam membantu menaikkan nama Universiti yang kita sayangi ini. Tanpa usaha berpasukan kita sekian lama, pastinya UniMAP tidak akan dikenali di seluruh dunia. Sesungguhnya, anugerah “The Name In Science”  dan “Best Campus” yang telah saya terima bagi pihak UniMAP pada Oxford Summit of Leader daripada Europe Business Assembly baru-baru ini merupakan testimoni bahawa sekiranya kita bekerja bersungguh-sungguh, insyaa Allah kita akan memperolehi hasil yang diidam-idamkan.

Sebagai sebuah gedung ilmu, kita mempunyai amanah yang amat besar untuk dilaksanakan, iaitu melahirkan MODAL INSAN yang bakal menjadi pemimpin negara ini. Dalam usaha mendidik anak-anak kita ini, perlulah ada keikhlasan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab. Mulakanlah tugas dengan niat yang betul. Ketahuilah - tugas yang dilaksanakan itu merupakan ibadah yang telah diamanahkan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan apa yang kita laksanakan mendapat keredaan dari Nya.

Sekian, Wabillahittaufiq Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.