- Kategori: DMNC - malay
DMNC Mac 2014
Marilah kita menadahkan tangan dan berdoa agar semua penumpang dan anak kapal pesawat MH370 (Kuala Lumpur ke Beijing) yang hilang sejak 8 Mac lalu akan ditemui dalam keadaan selamat. Walau apapun keadaannya, kita berserah kepada Allah SWT jua.
Sekiranya diperhatikan, kehilangan pesawat MH370 menimbulkan banyak tanda tanya, dan sebahagian daripada penyelesaian tanda tanya ini boleh diperolehi melalui ilmu kejuruteraan, khususnya aviasi. UniMAP sebenarnya mempunyai sekumpulan pakar dalam bidang yang berhampiran dengan aviasi. Mungkin sudah tiba masanya kita memikirkan jalan untuk menerokai bidang ini, yang sememangnya menjanjikan banyak ruang untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan dunia.
Sebagaimana biasa, kita bekerja keras membina rangkaian perhubungan dengan banyak pihak. Baru-baru ini kita telah memperluaskan jaringan antarabangsa apabila menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama National Defence University, Poland, serta Karabuk University, Mevlana, Turki. Kedua-dua MoU ini memperkuatkan lagi hubungan antara UniMAP dan Poland, serta juga antara UniMAP dan Turki, di samping meluaskan lagi kerjasama penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar, serta menganjurkan simposium bersama di masa akan datang. Insyaa Allah.
Kita juga telah mengadakan Taklimat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2012-2015 dan Sesi Dialog Bersama Timbalan Menteri Pendidikan II awal bulan ini. Jelaslah kita sama sekali tidak boleh leka dalam usaha mencapai aspirasi yang tinggi dengan persekitaran persaingan global yang semakin sengit. Dalam sesi dialog tersebut, pelbagai persoalan telah dibincangkan antara para pelajar (yang diwakili Majlis Perwakilan Pelajar, MPP) dengan pihak Kementerian. Nyata, pemahaman terhadap pelan ini sangat penting kepada MPP kerana mereka adalah medium dalam penyampaian maklumat di samping membantu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan semasa. Saya percaya kejayaan melaksanakan dan menjayakan pelan pembangunan pendidikan ini bergantung kepada komitmen serta kerjasama semua pihak.
Tidak dinafikan proses pelaksanaan transformasi pendidikan memerlukan pendekatan dan strategi baharu agar setiap pelajar mampu memiliki dan menguasai kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21. Besarlah harapan saya untuk meningkatkan lagi keupayaan jentera pentadbiran UniMAP bersama pelajar dalam melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan. Semua warga UniMAP, ayuh bersama kita menggembleng tenaga bagi melaksanakan transformasi pendidikan ini.
Baru-baru ini kita telah mengadakan Malam Anugerah Seri Gemilang untuk staf dan juga pelajar. Tahniah diucapkan kepada semua penerima anugerah. Saya harap kualiti kerja anda akan terus meningkat dari setahun ke setahun. Kepada mereka yang tidak menerima apa-apa anugerah, fahamilah bahawa kerja yang sempurna dilakukan bukan untuk meraih anugerah semata-mata. Keikhlasan yang mendasari pelaksanaan kerja akan membuatkan kita merasa puas walau tidak diberikan hadiah. Malah sebenarnya ‘hadiah’ yang lebih baik ialah hakikat bahawa kita sudah melakukan yang terbaik demi pembangunan Universiti yang kita sayangi ini. Insyaa Allah apa jua usaha kita akan mendapat ganjaran sekiranya bukan di dunia, akan kita perolehi di akhirat kelak.
Sekian. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.