A+ A A-

DMNC Mei 2014

DMNC MEI 2014

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP

Terlebih dahulu ingin saya mengucapkan Selamat Hari Pekerja yang disambut pada 1 Mei setiap tahun. Sesungguhnya pekerja merupakan instrumen terpenting yang menjadi penggerak sesebuah organisasi. Apalah UniMAP tanpa pekerjanya. Marilah sama-sama kita memperbaharui tekad dan semangat kita untuk bekerja bersungguh-sungguh bukan sahaja untuk UniMAP, tetapi yang lebih penting, untuk negara, bangsa, dan agama.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Illahi kerana baru-baru ini UniMAP menjadi IPTA pertama diberi penarafan tiga bintang menerusi audit QS Stars yang dikendalikan oleh QS Intelligence Unit, United Kingdom. Pencapaian ini telah menarik perhatian Y.A.B Perdana Menteri Malaysia, yang kemudiannya menyampaikan mesej dalam twitter, yang antara lain merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian cemerlang ini, dan pada masa yang sama berharap agar IPTA lain dapat menyusul selepas ini. Di samping itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan Malaysia, turut memuji keberanian UniMAP membenarkan pihak luar menjalankan audit untuk menilai pencapaian serta kedudukannya dalam sistem pendidikan dunia. Alhamdulillah, nampaknya usaha murni UniMAP sudah mendapat perhatian pengurusan tertinggi Negara. Semoga kita semua terus berusaha sedaya-upaya agar pengiktirafan dari QS Stars ini benar-benar membantu mencemerlangkan lagi UniMAP di masa akan datang. Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Naib Canselor dan Rektor (JKNCR) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia saya amat berharap pencapaian dalam QS Stars ini turut menjadi ikutan IPTA lainnya. Bukan kerana UniMAP menjadi pelopornya, tetapi saya melihat QS Star mempunyai impak tersendiri kepada transformasi sektor pengajian tinggi di Malaysia.

Alhamdulillah, baru-baru ini UniMAP mendapat pengiktirafan dunia sekali lagi apabila menerima anugerah The Bizz 2014 di Hilton Molino Stucky, Venice, Itali pada 26 April lalu. Anugerah Inspirational Company yang kita terima ini merupakan yang kedua buat UniMAP dalam The Bizz selepas kali pertama menerimanya tahun lalu. Anugerah ini akan membantu UniMAP terus berkembang sebagai sebuah syarikat dalam usaha meningkatkan hubungan perdagangan, menjana lebih banyak perniagaan, dan menguatkan imej korporatnya di persada dunia. InsyaAllah satu lagi anugerah antarabangsa akan kita terima Jun ini di Rome, Itali.

Dalam pada itu, kita juga bersyukur kerana pada 24 April lalu, telah berlangsung Majlis Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan UniMAP kepada Menteri Badan Usaha Milik Negara (BUMN) Indonesia, Yang Terhormat Dahlan Iskan. Penganugerahan itu diberikan sebagai menghargai sumbangan dan pencapaian Pak Dahlan dalam memartabatkan industri media di Indonesia dengan menerajui Jawa Post News Network yang memiliki lebih 207 akhbar, 65 majalah, 42 stesen TV tempatan, jaringan pemberitaan, kilang kertas, dan belasan pejabat pentadbiran. Ketokohan Pak Dahlan sebagai Menteri BUMN dalam memimpin sektor perusahaan dan industri di Indonesia merupakan antara kriteria utama penganugerahan tersebut. Penganugerahan Pak Dahlan adalah susulan kepada pelantikan beliau sebagai Professor Tamu di UniMAP yang dibuat September tahun lalu di Jakarta.

Majlis Penganugerahan Pak Dahlan Iskan dijalankan di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra, dan disempurnakan oleh Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Pada sebelah malam, telah diadakan jamuan makan bersama staf dan pelajar UniMAP yang terdiri daripada warga Indonesia. Semoga penganugerahan tersebut dapat mengukuhkan lagi hubungan antara Malaysia dan Indonesia, terutama dalam aspek pendidikan, memandangkan kedua-dua negara memiliki persamaan budaya dan bahasa.

Rasanya cukuplah coretan saya setakat ini saya sudahi dengan Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalammualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.