- Kategori: DMNC - malay
DMNC November 2014
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Ilmu, Keikhlasan, Kecemerlangan UniMAP
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, kerana dengan keizinanNya saya berkesempatan menulis sedikit coretan perkongsian bersama warga UniMAP bagi edisi bulan November ini.
Tahun 2014 kian melabuhkan tirai, dan saya amat gembira dengan pencapaian UniMAP sepanjang tahun ini. Beberapa minggu yang lalu, kita telah dianugerahkan "The Golden European Award for Quality & Commercial Prestige" bagi tahun 2014, bagi aspek kualiti dan pengkomersialan yang diberikan oleh Otherways Management & Consulting - France (OMAC).
Di samping itu, para penyelidik kita tampil lagi ke hadapan apabila mereka memenangi hadiah di pameran British Invention Show (BIS) 2014, International Trade Fair, Ideas, Inventions & New Products (IENA 2014).
UniMAP juga amat berbangga dengan pencapaian Dr. Noorhafiza Muhamad atas Anugerah Nasional Fellowship Untuk Wanita dalam Sains oleh L'oreal Malaysia. Kejayaan ini telah diraih UniMAP sebanyak empat kali berturut-turut sejak 2011 oleh Dr. Ong Hui Lin diikuti Dr Hakimah Othman dan Dr Ruslinda A. Rahim.
Satu lagi kejayaan manis telah kita kecapi apabila produk penyelidikan “ZCC-OCDMA Code For Symmetric Fiber-to-the-Home (FTTH) In Access Network” terpilih mewakili Malaysia ke Anugerah MSC Malaysia Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) 2014 November ini.
Terima kasih diucapkan kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan Yang Berhormat, Menteri Pendidikan II Dato’ Seri Idris Jusoh kerana ucapan tahniah atas kejayaan UniMAP di BIS 2014 di laman twitter mereka.
Kesemua kejayaan-kejayaan yang diperolehi menunjukkan bahawa kita berada di laluan penyelidikan yang produktif serta diiktiraf di dalam dan luar negara. Namun, adalah amat mengecewakan apabila baru-baru ini, kita dikejutkan dengan penyiaran satu berita di dalam akhbar perdana mengenai R&D, yang mempertikaikan haluan R&D yang nampaknya tidak membuahkan pulangan kewangan yang munasabah. Rata-rata penulis rencana tersebut tidak faham tentang falsafah penyelidikan yang kita dukung, yang didasari tradisi keilmuan yang melangkau pulangan kewangan semata-mata.
Komersialisasi hanyalah satu komponen kecil penyelidikan, dan hasrat utama penubuhan sesebuah universiti ialah mendidik pelajar untuk menjadi modal insan yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Penyelidik di universiti juga bukanlah saintis yang menumpukan sepenuh perhatian terhadap menjana keuntungan hasil pengkomersilan kesemua dapatan penyelidikannya. Sebaliknya apa yang lebih penting ialah melahirkan generasi berilmu.
Satu lagi komponen yang wujud dalam R&D tetapi tidak dapat dinilai dengan mudah oleh masyarakat ialah pemindahan teknologi dan pengetahuan (technology and knowledge transfer) serta konsultansi.
Malah UniMAP sendiri telah menjana lebih RM5.5 juta dari aspek konsultansi yang turut melibatkan proses pemindahan teknologi antara universiti dan pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Saya berharap warga UniMAP, terutama para penyelidik tidak berasa putus asa dengan apa yang dilaporkan itu, jadikan ianya sebagai pembakar semangat untuk kita menghasilkan produk-produk terbaharu yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Seperti yang kita sedia maklum, UniMAP tidak hanya menumpukan bidang penyelidikan dan akademik semata-mata. Baru-baru ini, pasukan bolasepak UniMAP telah berjaya merangkul dua gelaran juara bagi Piala Yayasan Tuanku Syed Putra dan Piala Tuanku Syed Putra. Malah pelajar antarabangsa telah meraih tempat kedua pada 2nd Maal Hijrah Arabic Debate Championship yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan memenangi kategori Tarian Tradisional Terbaik pada 1 World Culture di Nilai University, Negeri Sembilan baru-baru ini.
Sebelum mengakhiri coretan ini, ingin saya ingatkan kepada semua warga UniMAP agar jangan cepat merasa berpuas hati dengan pencapaian yang telah kita kecapi selama ini. Kita masih mempunyai perjalanan yang panjang dan hendaklah kita bersama-sama berusaha lebih keras dalam membangunkan UniMAP yang kita sayangi ini. Insyaa Allah, di masa akan datang lebih banyak kejayaan akan dikecapi sekiranya sifat ini dikekalkan pada tahun-tahun mendatang. Sekian,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Taala Wabarakatuh