A+ A A-

DMNC Jan 2016

Julai 2016 - Edisi Khas Aidilfitri

Salam Aidil Fitri : Tingkatkan Kesyukuran Semaikan Keikhlasan, UniMAP Juara Perpaduan

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dirafa’kan kepada Allah Azza Wajalla kerana memberi peluang kepada kita menyambut Aidil Fitri, iaitu hari kemenangan bagi umat Islam selepas sebulan berpuasa. Kemenangan ini lebih bermakna jika kita berjaya mentransformasikan diri menjadi insan yang berakhlak mulia walau di mana kita berada.

Ibadah puasa merupakan satu rahmat yang dapat mendidik jiwa agar lebih dekat kepadaNya. Ia juga medan mengukur kemampuan diri. Semoga Ramadhan yang dilalui menjadikan kita insan yang lebih baik dari tahun-tahun terdahulu.

Dalam kemeriahan hari kemenangan ini, saya menyeru warga kampus agar tidak sesekali mengabaikan mereka yang hidup dalam serba kekurangan. Selain itu, jauhilah pembaziran kerana sesungguhnya membazir itu amalan syaitan. Amalan tidak membazir termasuklah memastikan peralatan elektrik dipadam sepenuhnya. Firman Allah:

إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

 

"Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara Syaitan, sedang Syaitan pula makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." [Surah al-Israa : 27]

Marilah kita menjadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur, sebagaimana firman Nya:

لَئِنْ شَكَرْتُمْ لأزِيدَنَّكُمْ وَلَئِنْ كَفَرْتُمْ إِنَّ عَذَابِي لَشَدِيدٌ

 

 

“Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Aku menambah (nikmat) kepada kamu; dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” [QS Ibrahim: 7]

Akhir kata saya mewakili Pengurusan UniMAP mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir Batin kepada semua anggota kampus. Raikanlah dengan penuh kesyukuran dan semoga kita dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang insyaa Allah. Bagi yang akan pulang ke kampung halaman, berhati-hatilah di jalanraya.

 

Awal Syawal rai kejayaan,

Warga UniMAP saling berkunjungan,

Bertahmid bertakbir tanda ketaqwaan

Semoga kekal dalam kemenangan.

 

Allahu Akbar

Allahu Akbar

Allahu Akbar Walillah Ilhamd