Logo

Sumbangkan Idea Anda untuk memantapkan RMK-11

PENYEDIAAN RANCANGAN MALAYSIA KESEBELAS, 2016-2020 Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (UPE, JPM) sedang dalam proses penyediaan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11), bagi tempoh 2016 hingga 2020.  RMKe-11 merupakan fasa akhir perancangan lima tahun negara ke arah mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.  RMke-11 akan meneruskan agenda pembangunan sosioekonomi negara berdasarkan prinsip Model Ekonomi Baru, dengan memberi tumpuan untuk memacu Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi melalui pendekatan pembangunan inklusif dan mampan, serta menyuntik rangsangan baru dan dinamik dalam proses pelaksanaannya.

Penglibatan bersama yang berkepentingan dalam pembangunan adalah penting bagi memastikan RMKe-11 adalah menyeluruh, bersepadu dan boleh diterima. Untuk memastikan input dan maklum balas daripada semua pihak yang berkepentingan diambil kira, sejumlah 12 Kumpulan Perancangan Antara Agensi, 42 Kumpulan Kerja Teknikal dan 140 Kumpulan Fokus telah ditubuhkan. Sejak awal tahun 2014, kesemua kumpulan ini telah mengadakan banyak siri perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk wakil industri, badan bukan kerajaan dan wakil masyarakat bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi, sosial dan alam sekitar. Di samping itu, taklimat kepada semua Kerajaan Negeri telah diadakan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas terhadap strategi pembangunan yang dicadangkan.

Pembentangan RMKe-11 di Parlimen dijadualkan pada 21 Mei 2015. Selaras dengan konsep ekonomi berteraskan rakyat yang meletakkan rakyat di tengah-tengah proses pembangunan, satu laman sesawang khusus RMKe-11 telah disediakan yang akan menjadi platform kepada rakyat untuk menyampaikan pendapat, idea dan cadangan. Laman sesawang RMKe-11 ini boleh dicapai melalui https://rmke11.epu.gov.my mulai November 2014 hingga 31 Januari 2015.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi pihak Urusetia RMKe-11, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di talian 03 887 23272/ 03 887 25277.

Template Design © Joomla Templates | GavickPro. All rights reserved.