Biodiversiti Kampus Sg. Chuchuh
Dikelilingi kehijauan alam dan sawah padi terbentang luas... Itulah morfologi kampus yang amat signifikan dengan UniMAP. Dengan kampus utama di Pauh yang telah direncanakan lokasi strategiknya supaya terletak jauh daripada kesibukan kota, ramai yang terpesona dengan keindahan alam semulajadi kampus UniMAP.
Menyedari akan kepentingan untuk mengekalkan warisan alam yang dimiliki UniMAP, kampus Sg. Chuchuh yang juga menempatkan Institut Agroteknologi Lestari telah dijadikan sebagai stesen penyelidikan yang fokus kepada ilmu pelestarian alam sekitar. Antara usaha-usaha yang giat dijalankan adalah pemantauan dan pemeliharaan alam flora dan fauna di seluruh kawasan kampus Sg. Chuchuh.
Bagi menzahirkan aspirasi ini, Unit Penyelidikan Bio-D yang dianggotai oleh para penyelidik yang terdiri daripada gabungan beberapa pusat pengajian telah diwujudkan. Unit ini bertanggungjawab untuk merencana usaha dan aktiviti yang dapat meningkatkan apresiasi seluruh warga UniMAP terhadap kepentingan memelihara biodiversiti flora dan fauna di kampus Sg. Chuchuh yang menjadi antara khazanah alam yang sangat bernilai di UniMAP.
Melalui pemantauan dari stesen penyelidikan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar di Sg. Chuchuh, terdapat pelbagai spesis flora dan fauna yang merupakan spesis terlindung telah banyak ditemui di kawasan lingkungan kampus Sg. Chuchuh. Dengan penemuan tersebut, infrastruktur penyelidikan telah dipertingkatkan lagi dengan dilengkapi pelbagai teknologi tinggi bagi memantapkan fungsi utama Unit Penyelidikan Bio-D di UniMAP.
Dengan adanya Unit Penyelidikan Bio-D, ia dapat menyediakan satu platform perkongsian ilmu dan jalinan kerjasama antara pelbagai kepakaran di kalangan penyelidik UniMAP, universiti tempatan dan antarabangsa.
Oleh: Dr. Farrah Aini Dahalan