- Kategori: BERITA - Malay
Mantan NC UniMAP Dianugerahkan ‘Oustanding Scientist’ Di EUROINVENT2016
Iasi, 21 Mei – Mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus diiktiraf dan dihargai sumbangannya apabila dianugerahkan ‘Outstanding Scientist’ sempena 8th European Exhibition of Creativity and Innovation( EUROINVENT 2016) di Palas Mall, di sini, semalam.
Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin yang juga Presiden Persatuan Penyelidikan dan Inovasi Malaysia (MyRIS) dianugerahkan anugerah berkenaan di atas sumbangan beliau dalam perkembangan bidang bahan termaju di antara kedua-dua negara Malaysia dan Romania.
Ini berikutan sejak 2010, lebih 100 penerbitan akademik termasuk jurnal berimpak, buku, prosiding dan banyak lagi berjaya dihasilkan hasil hubungan erat dua hala itu.
Selain itu, pasukan Malaysia turut mencatat kejayaan membanggakan di EUROINVENT 2016 apabila hasil penyelidikan mereka mendapat pengiktirafan daripada pelbagai agensi serta meraih sembilan pingat emas dan empat perak.
Menurut Dr Kamarudin, salah satunya ialah hasil penyelidikan UniMAP GeoPipe oleh pelajar doktor falsafah (PhD) Pusat Kecemerlangan Geopolimer dan Teknologi Hijau (CEGeoGTech) Mohamad Firdaus Abu Hashim yang meraih anugerah khas daripada Croation Inventors Association dan Best Invention Association of Thai Innovation and Invenyion Promotion (ATIP) Thailand bersama pingat emas.
“Satu lagi pingat emas UniMAP juga disumbangkan oleh Prof. Madya Dr Zainab Hamzah melalui penyelidikanya A Portable and Handy Edible Bird Nest Instant Drink yang turut mendapat penghargaan khas daripada University of Sibiu Romania.
“Tujuh pingat emas Malaysia yang lain disumbangkan oleh Prof. Dr. Hanafi Ismail (Universiti Sains Malaysia), Prof. Ir. Dr. Muhd Fadhil Nuruddin (Universiti Teknologi Petronas), Dr. Ervina Efzan Mohd Nor (Multimedia University), Sekolah Menengah Imtiaz Kuala Terengganu, MRSM Betong Sarawak dan Sekolah Tinggi Kluang Johor dengan dua daripada pingat emas itu disumbangkan oleh syarikat persendirian iaitu FX Group Sdn. Bhd yang turut sama menyertai pameran EUROINVENT kali ini,” katanya dalam sebuah kenyataan di sini.
Terdahulu, MyRIS turut menjalinkan kerjasama dua hala dengan Eurobusiness Haller dari Poland dan Association of Thai Innovation and Invenyion Promotion (ATIP) Thailand dengan dihadiri sendiri oleh Presidennya iaitu Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin manakala Haller diwakili oleh Agnieszka Jastrzabska dan ATIP dihadiri oleh Pengerusinya iaitu Prof. Madya Dr. Unchalee Sa.
Turut diadakan International Conference on Innovative Materials (ICIR 2016) yang diadakan di Hotel Ramada Iasi Romania yang melibatkan hampir 100 kertas kerja daripada 17 buah negara dimana hasil kerja yang berkualiti akan diterbitkan dalam jurnal berimpak Scopus dengan dua pembentang utama Malaysia yang dijemput iaitu Dr. Norsuria Mahmed ( UniMAP) dan Prof. Ir. Dr. Muhd Fadhil Nuruddin (UTP) anjuran UniMAP bersama Georghe Asachi Technical Univeraity of Iasi Romania.
Lebih 500 inovasi dipertandingkan melibatkan hampir 40 buah negara telah menyertai pertandingan EUROINVENT 2016 kali ini antaranya ialah Bulgaria, Canada, Croatia, Egypt, Indonesia, Iran, Iraq, Korea, Taiwan, Moldova, Arab Saudi, Thailand, Russia, Poland, Vietnam, United Kingdom dan United States of America serta banyak lagi.
Perasmian EUROINVENT 2016 berkenaan disempurnakan oleh Datuk Bandar Iasi iaitu Mihai Chirica.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Dato' Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata pencapaian membanggakan ini menunjukkan UniMAP mempunyai hasil jaringan antarabangsa yang baik dan aktif.
“Saya rasa amat bersyukur atas pencapaian sangat memberangsangkan yang memberikan impak kepada UniMAP dan berharap UniMAP mengekalkan kecemerlangan ini di masa hadapan,” katanya ketika dihubungi.
Ini merupakan pencapaian pertama UniMAP di persada antarabangsa semenjak beliau menjadi Naib Canselor pada 1 Mei yang lalu.