A+ A A-

Program Breakfast Bersama CEO@University Kongsi Pengalaman Bersama Mahasiswa

KANGAR, 23 Mei – Pusat Pengajian Inovasi Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama SME Corporation Malaysia (SME Corp) menganjurkan Program Breakfast Bersama CEO@University bagi berkongsi ilmu dan pengalaman dari individu yang berjaya dalam bidang perniagaan.

Dekan PPIPT, Prof. Madya Dr. Hazry Desa berkata,  menerusi kajian sudah terbukti bahawa pendidikan keusahawanan mampu menjadikan pelajar lebih berdaya saing dari segi pemikiran dan tingkah laku.

“Pada program kali ini, kita telah membawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Mega Padu Sdn. Bhd. dan Pengusaha Produk terkenal SimplySiti, Dato’ Normaziah Sheikh Mohamed bagi berkongsi ilmu dan pengalaman.

“Saya melihat program seperti ini akan dapat menaikkan semangat para pelajar untuk menceburi bidang perniagaan kerana mereka dapat mendengar dan bertanya sendiri pengalaman susah payah seseorang CEO itu sebelum menempuh kejayaan,“katanya ketika ditemui selepas Program Breakfast Bersama CEO@University.

Turut hadir, SMECorp Kedah/Perlis, Syed Nahar Syed Harun.

Pada program itu, Dato’ Normaziah berkongsi pengalaman mengenai perjalanan hidup beliau dalam membangunkan perniagaan bermula dari butik kecantikan sehinggalah tertubuhnya Mega Padu Sdn. Bhd. yang mempunyai lebih empat anak syarikat dibawahnya.

“Untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, seseorang usahawan itu  perlulah mempunyai minat dan sentiasa fokus dalam sesuatu perkara yang dilakukan.

“Sesorang usahawan itu perlu mengenalpasti kehendak semasa orang ramai sebelum membuat keputusan bagi penghasilan produknya,”katanya.

Ujar beliau lagi, seseorang usahawan tidak boleh mempunyai sifat malu sebaliknya perlu menebalkan muka untuk mempromosikan produknya.

Untuk rekod, Program Breakfast Bersama CEO@University merupakan anjuran kali kedua PPIPT UniMAP yang menampilkan Presiden B.Braun Kawasan Asia Pasifik, Anna Maria Braun Januari lalu.