A+ A A-

Mahasiswa Pencorak Perpaduan Negara

Kangar – Mahasiswa Institusi Pengajian Tinggi (IPT) merupakan individu penting yang boleh mencorakkan masa depan negara terutama dalam aspek perpaduan dan kesetiaan kepada negara.

Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Perlis, Jazli Fadzli berkata, dalam situasi yang serba mencabar dan dengan pelbagai krisis yang melanda negara, semangat kesetiaan rakyat seringkali diuji yang mana ia membawa kepada perpecahan kaum dan agama.

Justeru, ujar beliau, mahasiswa IPT yang sememangnya terdiri dari kepelbagaiam kaum, bangsa dan agama merupakan model terbaik untuk memastikan perpaduan rakyat Malaysia terus kukuh dan utuh dalam menghadapi sebarang ancaman baik dari dalam atau luar negara.

Menurut beliau, atas dasar itu juga, BTN dengan kerjasama Sahabat Mahasiswa dan NADI Perlis menganjurkan Karnival Mahasiswa Perlis Patriotik (IMPATRIOT) khusus untuk menyuburkan semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan mahasiswa.

“Melalui penganjuran ini juga, semangat kesetiaan, bersatu padu dan harmoni dapat diterapkan dalam sanubari mahasiswa dengan cara mengukuhkan persamaan dan meraikan perbezaan antara kepelbagai masyarakat melalui penganjuran pelbagai aktiviti.

“Saya berharap, penganjuran program ini secara tidak langsung menggalakkan mahasiswa untuk meneruskan kesinambungan pembangunan yang telah diciptakan berasaskan semangat cintakan Malaysia,” ujar beliau ketika berucap di Majlis Perasmian Karnival IMPATRIOT di Dataran Dato’ Sheik Ahmad di sini hari ini.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan hadir menyempurnakan upacara perasmian. Yang turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis, YB Jamil Saad dan Ketua Pengarah Karnival IMPATRIOT, Mohd. Suhaimi R. Ajami.

Karnival tersebut yang julung kali dianjurkan mencipta sejarah tersendiri apabila membabitkan lebih 300 mahasiswa dari 10 buah IPT di Perlis yang akan berlangsung sehingga 6 Mei ini.

Karnival IMPATRIOT 2016 bakal mempertandingkan 12 acara antaranya Street Soccer, Mencari Harta Karun, Fear Factor, pertandingan papan luncur (skateboard), Nyanyian Lagu Patriotik dan Nasyid, senamrobik, Kawad Formasi Berirama, pertandingan produk inovasi dan kreativiti serta pertunjukan seni bela diri.

Selain itu, gerai siswa niaga juga disediakan khusus untuk membudayakan aktiviti keusahawanan dikalangan mahasiswa, dengan jangkaan lebih 50 gerai niaga diperuntukkan kepada mahasiswa di semua IPT.

Turut mengisi agenda penganjuran ialah acara Night Run dan program khidmat komuniti membabitkan lebih 100 sukarelawan yang akan diadakan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).

Dalam pada itu, Mohd. Suhaimi yang merupakan pelajar tahun tiga di Pusat Pengajian Kejuruteraan Sistem Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkata, selain UniMAP, IPT lain yang terlibat dalam program tersebut ialah,  Universiti Teknologi MARA (UiTM) Arau, Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kangar, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Institut Kemahiran MARA (IKM) Beseri, Kolej Komuniti Arau, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Kolej Antarabangsa Teknologi Profesional Malaysia (KATPM).

“Jika sebelum ini saya hanya mengetuai penganjuran aktiviti di peringkat universiti sahaja, namun program kali ini memberikan cabaran yang cukup berbeza apabila saya perlu mengendalikan lebih 300 ahli sekretariat sahabat mahasiswa dalam memastikan kelancaran karnival ini.

“Saya melihat penganjuran karnival ini sebagai platform terbaik untuk saya dan sahabat mahasiswa lainnya berinteraksi, merancang dan menjayakan sesuatu acara yang besar di peringkat negeri,” ujar beliau.