- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Anggota SUKSIS UniMAP Disaran Tingkat Daya Saing
KANGAR 26 Mei: Anggota Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) disaran untuk terus meningkatkan daya saing dengan tidak hanya terikat dengan modul-modul kepolisan.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, beliau mahu SUKSIS UniMAP menjadi pencetus kepada perkara baharu melalui aktiviti yang boleh disumbangkan kepada komuniti, Negara dan antarabangsa
“Tahun lalu kita telah berjaya menganjurkan dua program iaitu SUKSIS Community Outreach Program & Engagement (Scope) ke Cambodia dan program Sustain The Nature For The Future di Pulau Langkawi.
“Dengan inisiatif yang telah dimulakan ini, saya berharap ianya tidak terhenti malah menjadi titik permulaan untuk kita terus menerajui inisiatif berimpak kepada universiti, komuniti, negara dan antarabangsa,”katanya ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Kawad Komandan Kor Suksis UniMAP 2016, di Kampus UniMAP Kubang Gajah, di sini Baru-baru ini.
Turut hadir Timbalan Komandan Kor SUKSIS UniMAP, Supritendan Kor SUKSIS UniMAP, Prof. Madya Dr. Khairul Nizar Ismail, Pegawai Latihan Luar Kor SUKSIS,Asisten Superintendent Kor SUKSIS, Raja Shah Erman Raja Arifin dan Pegawai Penyelaras Kor SUKSIS UniMAP, Asisten Superintendent Che Yob Pin.
Ujar Zul Azhar lagi, pembentukan mahasiswa yang berdaya saing perlu seiring dengan pencapaian prestasi akademik yang akan menjadikan Anggota Kor SUKSIS UniMAP itu sendiri mempunyai nilai tambah berbanding pelajar lain yang tidak berpeluang membina ilmu dan kemahiran secara komprehensif.
Terdahulu Zul Azhar yang juga Komandan Kor SUKSIS UniMAP memeriksa Perbarisan Kawalan Kehormatan. Pada majlis itu juga, seramai enam anggota menerima Sijil Penghargaan Pencapaian Terbaik.
Salah seorang penerima Sijil Penghargaan Pencapaian Terbaik, Mohamad Suhaimi R Ajami,pelajar tahun tiga, Ijazah Sarjana Muda Elektrik Sistem Tenaga berkata, SUKSIS mengajar beliau untuk mempunyai disiplin yang tinggi.
“Saya bersyukur kerana terpilih untuk menyertai SUKSIS, ia banyak mengajar saya untuk menjadi lebih berdisplin disamping belajar untuk membahagikan masa dengan baik.
“Di samping itu juga, melalui SUKSIS saya dapat berbakti kepada orang ramai kerana banyak aktiviti yang dijalankan lebih menjurus kepada kemasyarakatan,”katanya.
Beliau berharap agar anggota SUKSIS lain menggunakan sebaiknya peluang yang ada untuk mengambil ilmu yang diperolehi sepanjang menyertai SUKSIS kerana ia tidak boleh diperolehi di dalam kelas.
“Gunakan sepenuhnya l peluang yang diberikan ini untuk mengambil ilmu dalam mendisiplinkan diri dan setiap pelajar perlu seimbangkan antara akademik dan ko kurikulum,”katanya lagi.
Majlis Kawad Komandan Kor SUKSIS dihadiri kira-kira 190 orang anggota Kor SUKSIS yang terdiri daripada Skuad 2013, Skuad 2014 dan Skuad 2015.
Ia merupakan acara tahunan bagi memberi peluang kepada Skuad Senior menyiapkan diri sebelum menghadiri Hari Pentauliahan disamping Penyampaian Amanat Komandan kepada semua Anggota Kor SUKSIS.