A+ A A-

Lulusan UniMAP Tinggi Kebolehpasaran Kerja

KANGAR, 29 Mei ( Bernama) -- Kadar kebolehpasaran pelajar lulusan Diploma Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mencatat peratusan tinggi iaitu 87.3 peratus pada tahun lepas.


Naib Canselor UniMAP Prof Datuk ZulAzhar Zahid Jamal berkata sebanyak 94.92 peratus siswazah lepasan Diploma Kejuruteraan Mikroelektronik mendapat pekerjaan pada Julai 2015 iaitu dalam tempoh enam bulan selepas menerima diploma mereka.

"Ramai pelajar lepasan Diploma UniMAP juga layak melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah samaada di UniMAP atau di universiti lain.

"Malah, ada yang meneruskan pengajian sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD)," katanya sempena majlis taklimat waris pada pendaftaran pelajar Diploma dan Program Minggu SuaiKenal Sidang Akademik 2016/2017 di Kampus Uniciti Alam UniMAP Sungai Chuchuh, Padang Besar hari ini.

Beliau berkata graduan peringkat Ijazah UniMAP yang mendapat pekerjaan pada 2015 ialah 89.5 peratus, yang menduduki tempat ketiga dalam senarai 20 universiti awam.

Bagi Sidang Akademik 2016/2017, UniMAP menawarkan 480 tempat kepada pelajar baharu yang akan mengikuti enam pengajian Diploma iaitu Kejuruteraan Komputer, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekatronik, Kejuruteraan Mikroelektrik, Kejuruteraan Pembuatan dan Kejuruteraan Metalurgi.

Daripada jumlah itu, UniMAP menjangkakan 380 pelajar akan menerima tawaran itu.

"Keutamaan UniMAP adalah memastikan jumlah pelajar yang mengikuti program ditawarkan tidak begitu tinggi iaitu sekitar 60 orang dalam setiap program.

"Ini bagi memastikan pensyarah dapat menumpukan perhatian yang lebih kepada kualiti sesebuah program pengajian yang ditawarkan," kata ZulAzhar.

-- BERNAMA