- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
300 pelajar meriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2016 UniMAP
Kangar, 8 Mei 2016 – Suasana meriah memenuhi Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Sin Min, Pauh apabila seramai 300 pelajar dan orang ramai membanjiri dewan tersebut bagi sambutan Pesta Tahun Baharu Cina 2016, malam tadi.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata perayaan Tahun Baharu Cina di Malaysia adalah amat unik.
“Keunikkannya adalah dari segi persembahan dan cara sambutannya melalui kepelbagaian aktiviti yang kreatif berpandukan unsur tempatan masyarakat Malaysia.
“Malah setiap tahun, penganjuran Pesta Tahun Baharu Cina dilaksanakan oleh pelajar berbeza yang dilantik menjadi Sekretariat Program Pesta Tahun Baharu Cina,” katanya.
Lantikan berbeza ini adalah bagi memberi peluang kepada pelajar untuk menimba pengalaman dalam merencana sesebuah program.
Ujar beliau lagi, dalam merencana sesebuah program, ianya tidak diadakan semata-matanya untuk mengumpul warga UniMAP, tetapi lebih kepada untuk mengekspresikan dan mengeksplorasi perspektif warga Malaysia keunikkan budaya kaum Cina dan juga budaya kaum lain.
Beliau yakin, selain mengeratkan hubungan sesama pelajar dan staf, sambutan ini juga membantu meningkatkan penghasilan graduan yang holistik, yang mempunyai kemahiran keusahawanan dan kemahiran lain yang seimbang seperti yang digariskan dalam Pelan Lonjakan Pertama.
“Ini kerana melalui penganjuran program sebegini, daya tahan dan semangat berdaya usaha untuk merealisasikan sesuatu perkara itu akan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.
“Oleh itu, para pelajar ini secara tidak langsung akan mempunyai disiplin yg berkaitan pengetahuan dan kemahiran (Ilmu), Etika dan moral (akhlak) serta tingkah laku yang sesuai, pemikiran, budaya dan celik ketamadunan (Beradab) yang akan memajukan mereka ke tahap yang lebih tinggi untuk kesejahteraan hidup mereka kelak,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu adalah Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Razli Ahmad.
Hadir memeriahkan program ini adalah pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).