- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
430 pelajar baharu angkat sumpah
Kangar, 30 Mei – Seramai 430 pelajar baharu diploma Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengangkat sumpah sebagai pelajar universiti tersebut dalam satu Majlis Sambutan Siswa Siswi (Akujanji Pelajar) yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra pagi tadi.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal dalam ucaptamanya berkata, semua pelajar perlu bersyukur diterima masuk belajar di universiti terutama perlu bersaing dengan ramai pelajar.
“Di usia 14 tahun UniMAP adalah sebuah universiti yang hampir matang, namun dari segi program kurikulum pengajaran dan pembelajaran, UniMAP telah berada di tahap yang amat membanggakan.
“Para pelajar patut bangga dan bersyukur kerana dapat belajar di sebuah universiti yang dinamik antara 20 universiti awam (UA) di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian di hadapan 276 pelajar lelaki dan 154 pelajar perempuan pengajian Diploma bagi sidang akademik 2016/2017 yang mendaftar pada 29 Mei lalu.
Tambahnya lagi, kalau dilihat dari segi pencapaiannya, UniMAP telah dikategorikan sebagai sebuah universiti yang baik dan cemerlang di belakang universiti-universiti penyelidikan dan universiti komprehensif yang telah lama bertapak di Malaysia melalui pengiktirafan ranking dan rating universiti di Malaysia.
“Kecemerlangan ini bukanlah tertakluk kepada prasarana yang ada semata-mata tetapi turut bergantung kepada mahasiswanya sendiri yang merupakan aset penting buat UniMAP bagi meneruskan kecemerlangannya.
Beliau berharap agar semua pelajar ini akan bersama-sama universiti bukan sahaja untuk mengekalkan kecemerlangannya tetapi turut sama membawa UniMAP ke satu tahap yang amat membanggakan iaitu menjadi antara 500 universiti terbaik dunia pada tahun 2020 nanti.
Turut diadakan pada majlis tersebut adalah sesi memperkenalkan Ketua Jabatan UniMAP.
Manakala pimpinan akujanji pelajar diketuai oleh pelajar Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Abdul Khalim Al Azizi Syahril dari Johor.