A+ A A-

UniMAP Bakal Tawar Silibus Pengajian Bahasa Melayu Di Luar Negara

Kangar, 30 Mei – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berhasrat untuk menawarkan silibus atau kurikulum pengajian Bahasa Melayu di luar negara.

Menurut Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, UniMAP dalam usaha untuk meningkatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi tersohor di seluruh dunia bagi menubuhkan lebih banyak kurikulum Pengajian Bahasa Melayu.

“Membudayakan sesuatu bererti mengamalkan atau menjadikan sesuatu itu sebagai tabii hidup mengikut kaedah dan rukunnya. Malah membudayakan sesuatu juga boleh dimengertikan sebagai mempraktikkan sesuatu amalan sehingga menjadi sebahagian cara hidup.

“Justeru, membudayakan Bahasa Melayu membawa erti menggunakan bahasa melayu dalam perhubungan liguistik secara betul dan mengisi tuntutan hidup seharian dan seterusnya menunjangi zaman membentuk tamadun masyarakat dan bangsa itu sendiri,” katanya ketika memberikan ucapan aluan pada Majlis Graduasi In – Country Bahasa Melayu UniMAP – Walailak University yang berlangsung di Dewan Kecemerlangan, Kompleks Dewan Kuliah Kampus Induk UniMAP, Pauh Putra, baharu-baharu ini.

Tambahnya lagi, sekiranya Bahasa Melayu dipelajari di seberang laut dan digunapakai di Nusantara, ianya secara tidak langsung menyumbang kepada perjuangan tokoh-tokoh bahasa yang terdahulu.

Pada majlis tersebut, seramai 22 pelajar dari Walailak University diraikan selepas tamat kursus Program In – Counry Bahasa Melayu yang dijalankan di UniMAP dan dianjurkan oleh Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP selama satu semester bermula 14 Disember 2015 dan berakhir pada 17 Jun 2016.

Kata Prof. Dr. Zul Azhar lagi, beliau berbangga kerana kesemua pelajar tersebut berjaya menamatkan sesi pembelajaran untuk tempoh enam bulan itu dengan cemerlang.

“Malah saya juga berbangga kerana kejayaan menggembangkan bahasa Melayu ke satu tahap yang lebih tinggi dalam konteks UniMAP sebagai sebuah gedung ilmu,” katanya.

Ujar beliau lagi, antara maklumbalas yang diterima menyatakan program ini sangat bermanfaat sebagai pendedahan untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Melayu di samping dapat mempelajari budaya masyarakat Malaysia dengan lebih mendalam.

“Saya berharap usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini tidak akan terhenti dengan Walailak University sahaja sebaliknya dipanjangkan kepada institusi pendidikan lain di masa akan datang.

Beliau juga berhasrat untuk menghantar pelajar UniMAP yang mengambil bahasa Thai sebagai bahasa ketiga ke universiti Walailak bagi mengikuti lawatan dan juga program di sana.

“Program ini telah bermula sebelum ini tetapi lebih santai kerana melibatkan sebuah perkampungan di Thailand dan tidak berorientasikan struktur akademik.

“Oleh itu, diharapkan program bersama pelajar Universiti Walailak nanti akan memantapkan penggunaan bahasa Thai pelajar UniMAP di samping dapat mempelajari budaya masyarakat Thai,” katanya.