A+ A A-

Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan Program ‘Team Building'.

Langkawi, 1 Mei – Unit Kebudayaan dan Rekreasi (UKR) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan Program ‘Team Building, Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) Pemuliharaan Alam dan Busking Street Charity’ di sini, mulai 27 April sehingga 1 Mei baru-baru ini.

Program selama lima hari empat malam berkenaan diadakan di Kem Biro Tatanegara Langkawi dan sekitar Langkawi dengan disertai 31 kakitangan UKR bersama 10 pelajar UniMAP diketuai Pengarahnya UKR, Encik Mohd Izwan Izhar Haris.

Aktiviti pertama telah dijalankan dengan kerjasama Biro Tatanegara (BTN) Negeri Perlis iaitu Kursus Pemantapan dan Sahsiah Diri dengan pengisian kursus seperti Wacana Minda, Peningkatan Keilmuan Penjanaan Kesedaran (PKPK) dan riadah.

Bagi aktiviti USR, gotong royong pembersihan pantai serta aktiviti membina monumen IM4U dengan kerjasama agensi IM4U itu telah diadakan di pantai Cenang.

Pada sebelah malam pula aktiviti USR diteruskan dengan ‘Busking Street Charity’ bersama serta pelajar UniMAP selama dua malam berturut-turut yang diadakan di Cenang Mall. Di sebelah siang pada 30hb April diadakan juga ‘Busking Street Charity’ bersama Kumpulan Seni Budaya Harapan Pulau Tuba di kawasan Jetty Point.

‘Busking Street Charity’ diadakan dengan matlamat bagi mengumpul dana untuk membantu merealisasikan penubuhan Pusat Hab Sumber Pendidikan Latihan Anak Autisme (A-HEART) UniMAP serta sebagai promosi perkhidmatan UKR kepada orang ramai di sekitar Pulau Lagenda itu.

Lagu-lagu bertemakan patriotik, lagu asli serta lagu terkini yang dipersembahkan menarik  perhatian pengunjung Cenang Mall dan pelancong luar negara yang turut sama menari sekaligus memeriahkan suasana persembahan pada malam berkenaan.

Kutipan mencecah RM2,000 berjaya dikumpulkan seterusnya sebahagiannya disampaikan kepada kepada wakil A-HEART yang turut sama menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan di sini.

Secara keseluruhannya, semua aktiviti dalam program ini telah dilaksanakan dengan jayanya dengan hasil kerjasama diantara semua kakitangan UKR dan juga pelajar UniMAP yang terlibat.

Dengan pengisian yang dilakukan dalam setiap aktiviti telah mengeratkan lagi ikatan silaturrahim sesama kakitangan UKR dan mewujudkan suasana persekitaran yang baru serta memberi satu pengalaman yang baru kepada kakitangan UKR.

Selain BTN dan IM4U, agensi lain yang terlibat dalam memberi kerjasama dengan pihak UKR ialah Pejabat Daerah Langkawi, Majlis Perbandaran Langkawi, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat swasta, Jetty Point Reality Sdn Bhd.