A+ A A-

UniMAP Raih 100 Peratus Pingat Di i – ENVEX 2016

Kangar, 11 April – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) meraih 100 peratus pingat pada International Engineering Invention and Innovation Exhibition (i-ENVEX) 2015 baharu-baharu ini.

Pencapaian tersebut adalah melalui pecahan 27 pingat emas, 52 perak dan tiga gangsa dalam i – ENVEX 2015 yang diadakan di Dewan Ilmu, Kampus Induk UniMAP Pauh Putra.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal, i – ENVEX 2016 menyaksikan peningkatan apabila kesemua produk yang dihantar oleh UniMAP meraih pingat.

“Ini membuktikan bahawa produk UniMAP sememangnya berkualiti tinggi dan akan diketengahkan ke pameran penyelidikan yang lebih berprestij selepas ini,” katanya.

i-ENVEX 2016 dianjurkan kali ke tujuh dengan 400 penyertaan daripada IPT dan sekolah menengah seluruh Negara serta penyertaan antarabangsa antaranya dari Korea Selatan, Kanada, Amerika Syarikat, Jepun, China, India, Turki, Romania, Moldova, Bulgaria, Mesir, Iraq, Indonesia, Thailand, Maghribi, Kemboja, Poland, Taiwan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Beliau berkata, 16 peratus daripada produk berkenaan adalah daripada penyelidik muda dari luar negara manakala 36 peratus penyertaan adalah daripada pelajar sekolah.

“Pelajar IPT dan sekolah perlu sentiasa berfikiran kritis untuk menjadi generasi baharu yang mempunyai nilai kompetitif dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

“Melihat situasi semasa global, kita sedar bahawa kita perlu membuat keputusan dan mengambil langkah yang berani untuk melakukan transformasi kepada ekonomi Negara agar menjadi ekonomi berasaskan inovasi berpendapatan pengetahuan.

“Dalam langkah untuk mencapai apa yang sasarkan oleh kerajaan dalam Pelan Transformasi Ekonomi dan Model Ekonomi Baharu yang menetapkan cabaran istimewa kepada rakyat terutamanya remaja untuk berani melakukan perubahan telah menjadi satu matlamat kepada UniMAP untuk memastikan ianya tercapai,” katanya.

Beliau menambah, pihak industri juga perlu memainkan peranan membantu mengkomersialkan produk inovasi yang dihasilkan pelajar.

Berangkat merasmikan majlis adalah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP bersama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang merupakan Pro Canselor UniMAP.

UniMAP buat pertama kalinya menganjurkan i-ENVEX bersama-sama dengan UniMAP Korean Week (UniKOW) yang menampilkan beberapa program menarik antaranya Kolokium Antarabangsa Aplikasi Teknologi Tinggi Korea (ICKHA 2016),  Pesta Makanan Korea, dan persembahan Taekwando.