- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Naib Canselor UniMAP Sertai Jalinan Kasih Kerajaan Negeri Perlis Ke Negeri Di Bawah Bayu 2016
KANGAR, 15 Jun – Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal menyertai delegasi Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan kerajaan negeri Perlis dalam sesi lawatan kerja jalinan kasih Kerajaan Negeri Perlis ke beberapa lokasi di Sabah.
Antara lainnya, lawatan jalinan kasih yang merupakan inisiatif tahunan Regimen 504 Askar Wataniah dianjurkan khusus untuk mengukuhkan rantaian jaringan antara kerajaan negeri dan pasukan keselamatan iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di negeri tersebut.
Selain beliau, program yang kini masuk tahun ke-12 penganjurannya itu turut disertai oleh ketua jabatan negeri Perlis serta ahli korporat dalam usaha menyuntik moral dan semangat kepada anggota keselamatan yang bertugas sepanjang bulan Ramadhan dan Syawal yang bakal menjelang.
“Lawatan yang turut dinaungi oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) itu memberi manfaat yang cukup besar kepada anggota delegasi terutama berkaitan tugas dan tanggungjawab serta pengorbanan pasukan keselamatan kepada umum.
“Saya percaya langkah ini mampu memperbetulkan persepsi umum berkaitan sumbangan pasukan keselamatan terhadap negara dan umum khasnya. Ia juga secara tidak langsung mampu menggerakkan sokongan masyarakat terhadap segala usaha kerajaan untuk mempertingkat ganjaran kepada pasukan keselamatan (ATM dan PDRM).
“Selain itu, ia juga berfungsi sebagai medium terbaik untuk mengumpulkan maklumat berhubung amalan terbaik organisasi di Sabah bagi dijadikan idea baharu untuk diperkenal atau dilaksanakan oleh jabatan-jabatan berkaitan termasuk UniMAP sekembalinya ke Perlis,” ujar beliau.
Menurut Zul Azhar, program tersebut yang berlangsung selama empat hari itu dibahagikan kepada dua segmen utama iaitu menyantuni anggota keselamatan di pulau-pulau sekitar Sandakan dan program titian kasih di sekolah-sekolah Menengah seluruh Sandakan.
“Saya sendiri berpeluang berkongsi informasi dan menyampaikan suntikan motivasi kepada 100 pelajar di Kolej Vokasional Sandakan yang mengikuti pelajaran dalam aliran teknikal dan vokasional yang mana ia selaras dengan kurikulum yang ditawarkan di UniMAP.
“Selain itu, saya turut meluangkan masa berbuka puasa dan berterawikh bersama pelajar-pelajar tersebut,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah agar ATM tidak berkompromi dalam perkara berkaitan keselamatan dan keamanan yang menjadi asas kemakmuran dan kesejahteraan negara.
Titah beliau, peranan pasukan keselamatan lebih mencabar dengan perkembangan bentuk dan corak ancaman terhadap negara dari semasa ke semasa.
"Justeru, setiap anggota keselamatan mestilah berkewajipan memelihara disiplin selain peranan mereka sentiasa signifikan dalam setiap aspek," titah baginda yang juga Komander Regimen 504 Askar Wataniah.
Dalam program berasingan, baginda turut menitahkan agar jaringan kerjasama antara polis dan masyarakat perlu dieratkan memandangkan ia mampu mencegah dan meminimumkan kegiatan jenayah.
Bagi tujuan itu, baginda menitahkan agar PDRM perlu sentiasa mencari jalan mewujudkan jalinan kerjasama erat dengan masyarakat setempat dalam membantu mencegah dan mengurangkan jenayah.
Titah baginda lagi, masyarakat juga seharusnya sentiasa menyahut seruan pihak berkuasa dalam aktiviti celik jenayah demi kepentingan bersama.