- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Perbaiki Kedudukan Dalam QS University Rankings: Asia 2016
Kangar, 15 Jun – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus memperbaiki kedudukan dalam kajian QS University Rankings: Asia 2016 apabila disenaraikan dalam kelompok 230 universiti terbaik di Asia berbanding kelompok 250 terbaik pada tahun-tahun sebelumnya.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, peningkatan tersebut secara tidak langsung memberi suntikan motivasi buat UniMAP yang baru mencecah usia sembilan tahun selepas penjenamaan semula daripada Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) untuk terus mendaki carta pemeringkatan QS.
Jelas beliau, dengan usia yang masih muda itu juga, UniMAP berjaya menempatkan diri dalam kelompok terbaik seiring dengan universiti terkemuka di Malaysia yang mencapai usia 20 tahun ke atas. Strategi UniMAP semenjak tahun 2008 yang menetapkan sasaran 500 universiti terkemuka dunia menjelang 2020 semakin menampakkan impak.
“Berdasarkan laporan itu, UniMAP berada pada kedudukan ke-13 terbaik di Malaysia serta kesembilan terbaik dalam kalangan universiti awam (UA).
“Saya percaya, dengan kerjasama jitu yang diberikan oleh semua pemegang taruh serta warga UniMAP, secara tidak langsung akan membantu UniMAP untuk mencapai sasaran menjadi antara 500 universiti terbaik dunia menjelang tahun 2020.
QS University Ranking Asia ialah agensi yang berpangkalan di United Kingdom membuat penarafan peringkat serantau dan dunia.
Penilaian kali ini membabitkan 350 universiti utama Asia dan dibuat sejak tahun 2009 berdasarkan sembilan indikator antaranya reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar kepada fakulti, penerbitan hasil kajian setiap fakulti, nisbah fakulti antarabangsa, nisbah pelajar antarabangsa serta indikator terbaharu, bilangan staf yang berkelayakan ijazah doktor falsafah (Phd).
Dalam pada itu, Zul Azhar berkata, bagi mengukuhkan lagi reputasi universiti di persada antarabangsa, UniMAP juga bakal menganjurkan Persidangan 12th QS APPLE di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 22-24 November tahun ini.
Ujar beliau, penganjuran persidangan pendidikan terkemuka di Asia Pasifik itu dijangka menarik 600 peserta dari seluruh dunia dan ianya merupakan sebahagian daripada agenda negara dalam memacu kegemilangan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di negara ini.
“Seperti yang disarankan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, persidangan ini merupakan platform terbaik untuk UniMAP dan lain-lain IPT melebarkan jaringan dengan IPT bertaraf global lainnya,” ujar beliau.