A+ A A-

Pelajar Antarabangsa UniMAP teruja ikuti Program Homestay dan Budaya Melayu

Jitra, 29 Mei – Program Homestay dan Budaya Melayu yang melibatkan seramai 22 pelajar mobiliti Universiti Malaysia Perlis, (UniMAP) dari Walailak Universiti, Thailand serta tiga orang pelajar antarabangsa UniMAP dari Yemen, Mesir dan Jordan telah dijalankan bersama komuniti di Kampung Pulau Pisang di sini, baru-baru ini.

Program anjuran CIL UniMAP itu adalah salah satu program kebudayaan Melayu yang menggabungkan pelajar-pelajar antarabangsa UniMAP dan masyarakat kampung Pulau Pisang.

Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini bertujuan memperkenalkan budaya Melayu kepada para pelajar antarabangsa di samping dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara UniMAP dengan masyarakat di kampung tersebut.

Seramai 25 pelajar yang terlibat telah diagihkan kepada enam buah keluarga angkat di sekitar Kampung Pulau Pisang bagi memberi peluang mereka menikmati serta mencuba makanan dan permainan tradisional masyarakat Melayu.

Menurut Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa (CIL) UniMAP Prof Dr. Harshita Aini Haroon, makanan dan permainan tradisional yang menjadi amalan masyarakat kampung di Malaysia ini mampu mempromosikan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa melalui perkongsian gambar dan video yang dimuat turun oleh pelajar di media sosial mereka.

“Terdapat pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh para pelajar antarabangsa UniMAP bersama keluarga angkat masing-masing sepanjang berada di sini, seperti demonstrasi membuat kuih tradisional Melayu, menganyam daun palas untuk dijadikan ketupat dan berpeluang merasai keenakan ketupat yang dimasak sendiri oleh mereka bersama keluarga angkat.

“Di samping berpeluang merasai makanan ubi kayu bersama dengan sambal ikan bilis, pelajar-pelajar antarabangsa UniMAP juga turut terlibat dengan permainan menangkap itik di dalam sawah dan bermain bola baling di dalam sawah, sebagai acara kemuncak pertandingan selain pertandingan memancing ikan serta melastik tin,” katanya dalam sebuah kenyataanya di sini, baru-baru ini.

Katanya, selain itu program seumpama ini bukan sahaja bermanfaat kepada pelajar tetapi mampu mempromosikan budaya masyarakat Malaysia kepada pelajar antarabangsa sekaligus membantu mereka menyesuaikan diri dengan suasana di Malaysia.

“Semua keluarga angkat turut diberi sumbangan barangan dapur sempena Ramadan yang bakal menjelang tiba,” katanya.