- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Ambil Langkah Berdikari, Jana Ekonomi Sendiri
ARAU, 6 Jun (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengambil langkah proaktif menjana ekonomi sendiri melalui aset minda dan intelektual.
Naib Canselornya yang baharu, Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata kaedah itu bagi menjadikan universiti sebagai pusat keuntungan dan bukan 'pusat kos' seperti tanggapan pihak-pihak tertentu.
Katanya UniMAP dan universiti awam (UA) lain tidak lagi boleh bergantung kepada bantuan kerajaan sebaliknya perlu menggunakan aset yang dimiliki untuk menjana pendapatan bagi menampung kos operasi.
"Dalam hubungan ini UniMAP sedang menggandakan usaha dalam bidang keusahawanan dan konsultansi serta meningkatkan kerjasama dengan sektor swasta dalam bidang penyelidikan dan pengkomersialan produk," katanya selepas menerima Nota Tugas Naib Canselor daripada bekas Naib Canselor Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin di Dewan Kecemerlangan UniMAP di sini, hari ini.
Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP berkenan berangkat ke majlis tersebut.
Zul Azhar berkata UniMAP meneruskan usaha menarik lebih ramai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian mereka bagi menjana hasil universiti selain dapat melebarkan sayapnya ke persada antarabangsa.
Katanya, pada 2014 dan 2015, kemasukan pelajar asing ke UniMAP sebanyak 136 dan 147 orang.
Kemasukan September dan Oktober ini menyaksikan lebih ramai pelajar luar negara mengikuti program pengajian di UniMAP, kata beliau.
Menurut Zul Azhar UniMAP juga bertindak meningkatkan kesedaran kakitangan dan mahasiswanya tentang perlunya berjimat mengguna elektrik bagi menjayakan program teknologi hijau di kawasan kampus.
Bil elektrik kampus Pauh Putra sahaja mencecah RM1 juta sebulan tidak termasuk kos penyelenggaraan.Penggunaan sumber secara berhemah ini mampu menjimatkan kos sehingga RM20,000 sehari, katanya.
Zul Azhar dilantik menjadi Naib Canselor UniMAP berkuatkuasa 1 Mei lepas hingga 20 April 2019.Dalam usia 14 tahun UniMAP kini menduduki tempat ketujuh terbaik dalam negara dan berada pada kedudukan 750 terbaik dalam kalangan lebih 40,000 universiti di dunia.