- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Jelajah Ramadhan : Alumni UniMAP Selesai Misi Cuci 8 Masjid Dari Perlis Ke Johor
KANGAR, 28 Jun : Kehadiran Ramadhan membawa banyak ganjaran kepada umat Islam. Segala amalan kebajikan yang dilakukan akan dibalas dengan pahala yang berlipat kali ganda dari bulan-bulan yang lain.
Kesempatan itu juga tidak dilepaskan Persatuan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang turut bekerjasama dengan Unit Pembangunan Alumni, Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta Kelab UNESCO UniMAP dengan menganjurkan program Jelajah Ramadhan Alumni UniMAP : Misi Cuci-Cuci Masjid Dari Perlis Hingga Ke Johor.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, program yang mengambil masa selama empat hari tiga malam itu melibatkan lapan buah masjid di lapan buah negeri dari Perlis hingga ke Johor.
“Saya bersama-sama 31 pelajar dan Alumni UniMAP memulakan perjalanan dari Kampus Pauh Putra UniMAP Jumaat lalu menuju ke Masjid Kok Mak Perlis dan diikuti Masjid Kampung Laka, Changlun, Kedah.
“Selain membersihkan kawasan masjid, jelajah Ramadhan itu juga bertujuan untuk mendekati Alumni UniMAP di setiap negeri yang terlibat dan pada masa sama mempromosikan UniMAP kepada masyarakat setempat,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Majlis pelepasan Jelajah Ramadhan Alumni UniMAP disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal di Dewan Kecemerlangan UniMAP, di Kampus Pauh Putra di sini.
Enam lagi masjid yang dibersihkan sepanjang program tersebut adalah, Surau Taman Penaga, Pulau Pinang, Masjid Kampung Tekah, Taiping, Perak Masjid Ahmadi Rantau Panjang, Klang, Selangor; Masjid Kariah Taman Tengku Jaafar, Negeri Sembilan; Masjid Al Aziz Pernu, Melaka dan Masjid Jamek Al Firdaus Tanjung Gading, Muar Johor.
Delegasi Jelajah Ramadhan UniMAP turut mengambil peluang menziarahi keluarga Alumni UniMAP, Allahyarham Nurul Syazeila Iryani Suhaimi yang terkorban bersama anaknya yang berusia 17 bulan setelah terlibat dengan kemalangan melibatkan 16 kenderaan di Kilometer 405.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan berdekatan Kuala Kubu Baru.
Menurut Mohd. Foad lagi, Jelajah Ramadhan yang dianjurkan itu diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk bersama-sama ‘menjaga’ kebersihan dan kesucian masjid.
Secara tidak langsung, ujar beliau, Alumni UniMAP juga membawa mesej kepada seluruh masyarakat terutama generasi muda untuk meringankan tulang membantu pengurusan masjid di kawasan masing-masing.
“Sebahagian besar masjid diterajui pengurusannya golongan warga emas atau pesara yang mana kita sedia maklum kudrat yang dimiliki tidak setanding dengan generasi muda.
“Sama-samalah kita menghulurkan bantuan apatah lagi masjid merupakan milik masyarakat yang menjadi pusat untuk masyarakat terutama umat Islam berkumpul merapatkan silaturahim, justeru sentiasalah lapangkan masa untuk terlibat dengan pengurusan masjid,” pintanya.
Katanya lagi, program seperti itu wajar diteruskan kerana ia dapat memupuk nilai sukarelawan dan jati diri dalam diri Alumni UniMAP dan pada masa sama mendidik Alumni UniMAP tentang nilai pengorbanan terutama di bulan Ramadhan.
“Harapan saya semoga usaha ini mendapat keberkatan dari Allah dan menjadi satu kenangan yang indah buat Alumni UniMAP yang terlibat dan semoga ianya dapat mengeratkan hubungan antara kariah masjid dan juga UniMAP,” katanya lagi.