- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
20 Pelajar Terima Sumbangan Menerusi Program Kasihnya Ramadhan
Kangar, 21 Jun – Seramai 20 pelajar asnaf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah terpilih untuk menerima sumbangan dan bantuan menerusi program Kasihnya Ramadhan yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP.
Program yang turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) UniMAP itu antara lainnya bertujuan untuk membantu meringankan beban para pelajar UniMAP yang kurang berkemampuan.
Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, “sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang kurang bernasib baik dalam kalangan pelajar UniMAP.
“Saya amat berbangga dengan inisiatif yang diambil oleh MPP UniMAP ini yang mana sumbangan yang disalurkan ini dikumpul melalui sumbangan daripada kalangan staf dan pengurusan di UniMAP.
“Adalah menjadi harapan saya agar pengagihan sumbangan menerusi program ini dapat diteruskan di tahun-tahun akan datang dengan peningkatan dalam jumlah penerima yang layak bagi meringankan beban yang dipikul,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Program tersebut. Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd. Foad Sakdan dan Yang Dipertua MPP, Rio Iskandar Jazman.
Kesemua 20 pelajar yang terpilih itu menerima sumbangan berbentuk wang tunai, hamper dan kurma.
Sementara itu, Rio Iskandar berkata, selain kakitangan UniMAP, pihak MPP juga menjalankan kutipan dana daripada wakil raktar di beberapa kawasan di Perlis.
“Walaupun sumbangan ini bukan kepada keseluruhan pelajar, sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan sedikit bebanan pelajar yang kurang berkemampuan dalam persiapan Syawal nanti,” katanya.
Salah seorang penerima, Shahirah Amirah Shamshul Shariman, 22, pelajar Diploma tahun akhir Kejuruteraan Elektrik amat bersyukur kerana terpilih untuk menerima sumbangan tersebut.
“Memandangkan saya pelajar tahun akhir, danperlu menyiapkan projek tahun akhir, saya gembira dan berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban keluarga dan menampung kos perbelanjaan di sini,” katanya.