- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Naib Canselor Rasmi Pelepasan Pelajar UniMAP Pulang Beraya
SUNGAI CHUCHUH, 1 Julai:Peluang untuk pulang berhari raya di kampung halaman sememangnya ditunggu-tunggu oleh pada pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Lebih manis lagi, rombongan pelajar-pelajar UniMAP pulang berhari raya dilepaskan sendiri Naib Canselornya, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.
Dalam ucapannya, Dato’ Prof. Dr. Zul berharap agar para pelajar selamat sampai ke destinasi kampung halaman masing-masing bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarga.
“Selamat pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidilfitri, kirim salam kepada mak dan ayah serta keluarga di kampung.
“Diharapkan semoga kepulangan ke kampus semula nanti dengan lebih semangat untuk terus berusaha bersungguh-sungguh dalam pengajian masing-masing,” katanya pada Majlis Pelepasan Pelajar Diploma Balik Kampung, di Perkarangan Kampus Uniciti UniMAP, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan Presiden Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil.
Menurut Syed Akhmal Syed Jamalil, tiga buah bas disewa bagi membawa pulang 102 pelajar UniMAP ke Pantai Timur sempena Aildilfitri yang bakal dijangka 6 Julai ini.
“Ini juga adalah salah satu inisiatif Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP bagi memastikan perjalanan pelajar UniMAP pulang ke kampung masing-masing tanpa perlu berebut tiket di stesen bas,” katanya.