- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
15 Pelajar UniMAP Ikuti Program Musim Panas Asia 2016 di Bangkok
Padang Besar, 10 Julai – Seramai 15 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berlepas ke Bangkok dari Stesen KTM Padang Besar bagi mengikuti program Musim Panas Asia (ASP 2016) yang dihoskan oleh Universiti Bangkok.
Program yang akan berlangsung selama 3 minggu sehingga 30 Julai itu merupakan program tahunan yang memasuki tahun kelima penganjurannya, ujar Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.
Menurut beliau, penglibatan pelajar UniMAP dalam program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif pengantarabangsaan yang bertujuan meningkatkan aspek kepimpinan, komunikasi serta memupuk kerjasama berpasukan antara pelajar UniMAP dan para peserta dari universiti lainnya di Asia.
“UniMAP merupakan satu-satunya universiti dari Malaysia yang menyertai program ASP2016 ini dan para pelajar ini akan diiring oleh lima orang staf dengan diketuai oleh Pengarah Pusat Bahasa Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Harshita Aini Haroon,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.
ASP 2016 merupakan program akademik yang melibatkan jumlah jam pengajian dan pada tahun ini ia disertai oleh 121 pelajar dari 16 buah universiti, 15 pemerhati.
Sebanyak 26 kursus pengajian ditawarkan dengan keseluruhan program bakal belangsung sekitar kampus Bandar dan kampus Rangsit di Universiti Bangkok.
Dalam pada itu, ketua kumpulan pelajar UniMAP, Lum Jason,21, yang berasal dari Kuala Lumpur berasa sangat bertuah kerana diberi peluang menyertai ASP 2016 walaupun terpaksa mengorbankan cuti semester masing-masing.
"Pekuang menyertai ASP2016 merupakan peluang keemasan dan sangat berbaloi sekalipun saya tidak dapat memghabiskan cuti semester kali ini. Ia kerana bukan semua pelajar berpeluang menyertai program berprestij seperti ini.
Menurut beliau lagi, selepas dimaklumkan terpilih menyertai program ASP2016 pada April lalu, dia dan rakan- rakan perlu membuat persiapan termasuk latihan tarian untuk malam kebudayaan dan pada masa sama turut sibuk dengan peperiksaan akhir semester.
"Saya juga berbangga dapat mewakili UniMAP serta mendapat sokongan penuh keluarga walaupun sedikit kesuntukan masa bagi membuat persiapan untuk menyertai program ini," katanya yang juga pelajar tahun Satu Kejuruteraan Keusahawanan, Pusat Pengajian Perniagaan dan Teknousahawan (PPIPT) UniMAP.
Bagi pelajar tahun dua Komunikasi Media Baharu UniMAP, Kamaliah Mohamad, 22, yang berasal dari Kelantan berkata beliau terpaksa mengrbankan kemeriahan sambutan Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini.
Ujarnya yang tiba di Perlis pada hari raya kedua, ia berikutan pelbagai persediaan perlu dilakukan termasuk penyediaan makanan tradisional dan kostum tarian bagi pesta makanan tradisi serta persembahan di ASP nanti.
“Atas dasar itu saya bersama rakan rakan perlu berada di Perlis lebih awal bagaimanapun, saya tidak menyesal dengan pengorbanan ini memandangkan penyertaan kami di bangkok ini adalah ibarat duta kecil UniMAP dan Malaysia,” ujarnya.