A+ A A-

ACCCIM Tawar Biasiswa kepada Pelajar UniMAP

Kangar, 20 Julai – Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) menawarkan biasiswa kepada seorang pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bagi membantu meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda di universiti berkenaan.

Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal berkata, pemberian biasiswa bernilai RM25,000 itu dimaklumkan oleh Pengerusi ACCCIM Chapter Perlis, Ch’ng Ban Pai dalam kunjungan rasminya ke pejabat beliau semalam.

“Kriteria pemilihan bagaimanapun belum diputuskan lagi dan ianya akan dimuktamadkan dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang dijadualkan Ogos ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Dr. Zul Azhar, kunjungan tersebut antara lainnya bertujuan untuk bertukar pandangan mengenai isu-isu berkaitan penempatan graduan universiti di sektor pekerjaan.

Antara lainnya, ujar beliau, ACCCIM dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara sebelum ini telah berurusan dengan beberapa universiti lain untuk menangani isu-isu pekerjaan di kalangan graduan.

“Beliau (Ban Pai) turut menyarankan graduan Bumiputera untuk mendapatkan peluang pekerjaan dengan PKS milik Cina dan ACCCIM akan memainkan peranan dalam membantu memudahkan proses tersebut.

“Secara keseluruhannya, perbincangan awal ini sangat positif dan kita turut membincangkan mengenai aspek latihan, biasiswa pelajar dan penyelidikan.

“Semoga inisiatif ini akan membuka lebih banyak ruang dan peluang buat UniMAP selepas ini dan pada masa sama memupuk hubungan dan perpaduan yang lebih baik dalam semangat 1 Malaysia,” ujarnya lagi.