- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Kerjasama Strategik MODENAS-UniMAP Untungkan Industri Automotif Negara
ARAU, 21 Julai (Bernama) -- Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) menyifatkan kerjasama strategik mengenai penyelidikan dan pembangunan (R&D) enjin dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menguntungkan industri automotif negara.
Ketua Bahagian R&D Modenas Wan Shahar Wan Teh berkata, Modenas menyasarkan melalui kerjasama ini, ia mampu menggalakkan perkembangan industri permotoran yang aktif dan terkenal di kawasan utara Malaysia.
Beliau berkata Modenas berkemungkinan menyediakan geran R&D pada masa hadapan dan masa ini, syarikat hanya bersedia menyumbang enjin untuk tujuan pembelajaran serta bertukar kepakaran.
“Kerjasama ini yang terjalin sejak 2012 membolehkan pelajar UniMAP mendalami secara mahir bidang automotif di samping mencetuskan teknologi lebih maju selain meningkatkan kebolehpasaran mereka," katanya.
Wan Shahar ditemui pada majlis 'Riang Ria Aidilfitri UniMAP' di kampus induk universiti di Pauh Putra, dekat sini, hari ini.
Pada majlis berkenaan, beliau menyerahkan 10 unit enjin motosikal Modenas kepada Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal untuk digunakan Unit Penyelidikan dan Sukan Permotoran (MoTECH) UniMAP.
“R&D UniMAP dalam bidang ini berasaskan teori dan kami di Modenas akan mencari titik persamaan. Hasilnya, kami dapat mengoptimumkan aplikasi.
“Contohnya kami telah dapat meningkatkan mutu petri, lebih menjimatkan kos malah kecekapan turut meningkat," kata Wan Shahar.
Sementara itu, Zul Azhar Zahid berkata tajaan 10 unit enjin berkenaan merupakan simbolik kerjasama kedua-dua pihak untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Automotif dan Permotoran UniMAP-Modenas.
Katanya UniMAP juga akan memastikan kerjasama atau penyelidikan yang dijalankan menambah kualiti pelajar dan relevan dengan keperluan semasa serta membantu perkembangan MoTECH.
- BERNAMA -