- Kategori: BERITA - Malay
- Ditulis oleh Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Mantan NC UniMAP Terima Anugerah Tokoh Kepimpinan UniMAP 2016
Georgetown, 25 Julai – Biarpun sudah empat bulan bersara, ketokohan mantan Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus diingati dan dihargai apabila dianugerahkan Anugerah Tokoh Kepimpinan UniMAP 2016.
Penganugerahan anugerah kepada Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin itu adalah sempena Majlis Anugerah Tokoh Alumni UniMAP (ALUMNIGHT) 2016 anjuran Persatuan Alumni dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UniMAP yang diadakan di Hotel Equatorial, di sini, semalam.
Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil berkata anugerah berkenaan dianugerahkan kepada Dr Kamarudin di atas jasa dan pengorbanan beliau selama hampir 14 tahun membangunkan UniMAP sebelum ini.
“Beliau juga tokoh terawal menerima kemasukan pelajar-pelajar sulung sejak UniMAP masih lagi sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) daripada ‘zero’ hingga gah di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
“Justeru, Persatuan Alumni UniMAP menganugerahkan anugerah ini sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada beliau yang telah bersama-sama kami sejak kami masih pelajar sehingga kini,”kata beliau ketika ditemui di majlis berkenaan.
Turut hadir Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal dan Timbalan Naib Canselor HEPA, Prof Madya Dr Mohd Foad Sakdan.
Selain Dr Kamarudin, Pengurus Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) Prof Madya Dr Mohd Mustafa Abdullah dianugerahkan Anugerah Tokoh Akademik,Pemilik syarikat PROKAS, REMO Sdn Bhd Mohd Reza Mohyin (alumni 2008) dianugerahkan Anugerah Tokoh Usahawan dan Ahmad Faeiz Zulkifli (alumni 2008)yang bertugas sebagai ‘Senior Engineer’ di Toyota Motor Asia Pacific di negara jiran, Thailand.
Sementara itu, Dr Zul Azhar berkata beliau berharap alumni UniMAP yang kini seramai 12,791 orang dapat mencari peluang melawat UniMAP bagi menyuntik semangat dan pendedahan kepada pelajar-pelajar yang masih menuntut di UniMAP .
“Kita sedia maklum, persekitaran bidang pekerjaan amat mencabar kini, justeru alumni yang telah berjaya boleh menyumbang informasi terkini kepada alumni yang baru bergraduat mahupun masih menuntut di UniMAP.
“Selain itu, para alumni yang bekerja di sektor industri mahupun institusi luar UniMAP juga diharapkan dapat memberi sokongan dalam kajian reputasi majikan bagi membantu UniMAP dalam QS World University Ranking untuk mencapai 500 universiti terbaik menjelang 2020,” kata beliau kita berucap di majlis itu.
Beliau turut melancarkan Tabung ‘I Care, You Care & We Care’ bagi mengumpul dana membantu alumni atau individu lain yang kurang bernasib baik serta kad keahlian Persatuan Alumni UniMAP yang mempunyai fungsi ‘TouchNGo’ di majlis yang dihadiri hampir 200 alumni UniMAP itu.