A+ A A-

Karnival Varsiti IMT-GT Tonjol Potensi Pelajar

Kangar, 2 Ogos – Karnival Varsiti IMT-GT yang dihoskan oleh Rajamanggala University Technology Srivijaya (RMUTs), Thailand berakhir semalam berjaya menonjolkan potensi pelajar dalam tiga bidang utama iaitu akademik, sukan dan kebudayaan.

Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Madya Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, karnival tahunan yang berlangsung selama tujuh hari itu menjadi bukti bahawa semangat perpaduan dapat ditonjolkan melalui pelbagai aktiviti walaupun terdapat perbezaan dari segi budaya, agama dan latar belakang.

Jelas beliau, penganjuran Karnival Varsiti IMT-GT yang masuk kali ke-18 penganjurannya itu turut membuka minda pelajar bahawa perbezaan latar belakang, sosio ekonomi mahupun budaya bukanlah alasan kepada pelajar untuk memilih kehidupan “seperti katak di bawah tempurung”.

“Melalui perbezaan itulah pelajar perlu menggunakan setiap ruang dan peluang untuk mencari titik persamaan, berkongsi  idea seterusnya mengeratkan hubungan sesama negara melalui kerjasama yang dijalankan.

“Selepas hampir 20 tahun penganjuran (mula diperkenalkan pada tahun 1995), saya melihat karnival ini sebagai medan terbaik untuk pelajar dari tiga buah negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Thailand menonjolkan potensi diri bukan sahaja dalam bidang akademik untuk manfaat bersama,” ujarnya.

Selain UniMAP, karnival tersebut turut disertai oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan empat buah universiti dari Indonesia iaitu Institut Teknologi Medan (ITM), Universiti Sumatera Utara (USU), Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU) dan Universiti Medan (Unimed).

Sementara itu, RMTUs, Thailand turut diwakili oleh Prince Of Songkhla University (PSU), Thaksin University dan Wailalak University. Antara aktiviti akademik yang dijalankan ialah seminar, pembentangan kertas kerja dan pembentangan kumpulan.

Menurut Mohd. Foad, kumpulan yang dianggotai oleh seorang pelajar UniMAP, Farrah Hanim Osman Jailani, 21 berjaya menumpaskan empat lagi kumpulan lain untuk muncul pemenang pembentangan terbaik berkumpulan.

Selain itu, ujarnya, peserta dari UiTM, Hindun Sharmaine Zulkifli pula berjaya dinobatkan sebagai pemenang anugerah kertas kerja terbaik dalam slot pembentangan individu yang bertemakan Peranan Belia Dalam Komuniti ASEAN Masa Hadapan.

“Pembentangan ini dibahagikan kepada empat subtopik iaitu Pendidikan, Ekonommi, Sosial dan Alam Sekitar. Hindun Sharmaine berjaya menumpaskan kesemua peserta individu lainnya melalui pembentangan beliau bagi topik ekonomi.

“Secara keseluruhannya saya melihat penglibatan pelajar dari negara kita amat baik sekali dan mereka berjaya menonjolkan ciri-ciri kepimpinan dan semangat berpasukan yang tinggi,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, Mohd. Foad berkata, UniMAP turut berjaya memperbaiki pencapaian dalam bidang sukan di karnival tersebut tahun ini apabila meraih dua pingat perak dan satu pingat gangsa menerusi enam acara yang dipertandingkan.

Jelas beliau, pingat perak disumbangkan oleh pasukan bola keranjang dan bola tampar pantai lelaki manakala pingat gangsa oleh pasukan tenis. Juara keseluruhan menjadi milik Thaksin University dengan tiga pingat emas.

“Ini merupakan pencapaian terbaik sukan semenjak kita menyertai karnival ini. Bagi tiga lagi acara iaitu bola sepak, badminton dan bola tampar pantai wanita, UniMAP terpaksa akur dengan kehebatan pasukan lawan apabila tumpas di peringkat kumpulan,” katanya.

Bagi kategori kebudayaan pula, Mohd. Foad memberitahu, UniMAP yang diwakili oleh 17 orang pelajar berjaya menerima pengiktirafan kumpulan kebudayaan harapan terbaik.

“Bagi slot ini (kebudayaan) para pelajar didedahkan dengan persembahan kebudayaan mengikut negara, kombinasi persembahan kebudayaan antara budaya serta persembahan kebudayaan universiti,” jelasnya.