A+ A A-

Tidak Susah Untuk Bersikap Baik – Farrah Hanim

Perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial yang begitu optimum pada masa kini bukanlah alasan untuk mana-mana individu bersikap negatif, ganas ataupun menyemarakkan bibit permusuhan di kalangan masyarakat.

Sebaliknya, teknologi dan media sosial jika digunakan secara betul pasti dapat memberikan manfaat yang besar kepada masyarakat dan pada masa sama menyemarakkan lagi kasih sayang serta perpaduan.

Demikian antara intipati pembentangan berkumpulan yang disampaikan oleh Farrah Hanim Osman Jailani yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Alam Sekitar dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Karnival Varsiti IMT-GT yang berlangsung di Thailand baru-baru ini.

Kumpulan yang dianggotai Farrah Hanim, 21, berjaya menumpaskan empat lagi pasukan lain untuk muncul pemenang pembentangan terbaik Karnival Varsiti IMT-GT melalui hasil pembentangan yang menggunakan hashtag #Random ActOfKindness dan #SharingExperience.

Menurut beliau, antara lainnya, intipati pembentangan pasukannya berkonsepkan perkongsian pengalaman tentang perkara-perkara kebaikan yang boleh dilakukan secara spontan dan tanpa perlu dipaksa.

“Kami memilih beberapa contoh kebaikan untuk diketengahkan dalam slot pembentangan iaitu hadiahkan senyuman, pujian, membantu orang lain, nilai murni yang mana kesemua ini merupakan antara sikap terpuji yang perlu untuk disebarluaskan melalui media sosial.

“Pada masa sama, saya dan pasukan turut menekankan bahawa kesemua ini bukanlah bermaksud untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya ia mampu menjadi suntikan motivasi kepada individu lain untuk melakukan yang sama,” ujar beliau.

Selain Farrah Hanim, pasukan tersebut turut dianggotai oleh wakil dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Sumatera Utara (USU), Universiti Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), Universiti Medan (Unimed), Rajamanggala University Technology Srivijaya (RUTS), Prince Of Songkhla University (PSU) dan Wailalak University.

Bagi Farrah Hanim sendiri, idea untuk topik pembentangan itu juga timbul secara spontan ketika karnival berlangsung iaitu sewaktu beliau secara tidak sengaja menumpahkan kopi di bilik perbincangan.

“Saya agak panik ketika itu, namun apabila rakan-rakan menghulurkan bantuan tanpa perlu diminta ia amat menyentuh hati dan sanubari saya. Walau berlainan bangsa, negara dan budaya namun, kebaikan itu bukanlah sesuatu yang sukar,” ujarnya.